Kekal Bertudung Atau Tidak… SITI SARAH Tak Berani Janji

Konsert mini Siti Sarah full house!

“SAYA nak tanya semua orang, comel kan isteri saya memakai tudung,” tanya Shuib Sepahtu kepada khalayak yang hadir menyaksikan persembahan konsert mini Siti Sarah Raissuddin selepas hampir lapan tahun berehat.

Pelantun lagu hit Kesetiaan dan Jangan Kau Mimpi itu muncul dengan penampilan kemas, tidak seksi tetapi mengenakan turban.

“Sebenarnya saya sudah semakin selesa menutup kepala selepas balik dari menunaikan umrah Ramadan lalu.

“Tetapi kalau ditanya apakah saya akan kekal begini atau sebaliknya… saya tidak berani berjanji.

“Saya mohon doakan yang terbaik buat saya,” jelas Siti Sarah kepada Mangga Media ketika ditemui sejurus selesai persembahan yang berlangsung di Matic, Kuala Lumpur, 6 Julai, baru-baru ini.

Bagaimanapun, dengan sokongan padu suami serta para peminat, ibu tiga anak itu tidak menolak akan terus istiqomah kekal dengan penampilan terbaharu ini.

“Kalau ditanya, saya lebih suka pilih pakai turban. Ia lebih mudah dan saya banyak dibantu pereka busana serta jurusolek bagi menggalakannya dengan betul.

“Dari segi nyanyian, rasanya tak banyak masalah bila mengenakan turban, asalkan saya bijak menggayakannya. Cuma, kadang-kadang monitor telinga terganggu sedikit,” ujar Siti Sarah.

Dalam persembahan konsert mini yang full house dibawa khas oleh produk Pinky Pinky yang diusahakan bersama suami serta kerjasama syarikat rakaman Indigital Records, Siti Sarah menganggap ianya permulaan bagi perkembangan karier seni yang semakin membaik.

“Shuib beri peluang ini dan dia banyak menyediakan semuanya dibantu Indigital. Kalau ada rezeki mahu bawa konsert siri jelajah, antaranya ke Singapura dan Brunei.

“Ini permulaan baik, lagipun single baharu, Semakin juga diterima baik peminat,” ungkap Sarah lagi. Lagu Semakin ciptaan Shuib yang menggunakan nama pena Mera Utama mengambil tempoh empat jam untuk proses rakaman.

Siti Sarah dan Shuib berduet lagu Kejoraku Bersatu.

“Tak pastilah nak kata saya ini perfectionist atau pun tidak, tetapi susunan muzik lagu itu banyak kali diubah ikut kehendak saya.

“Sampailah Kak Nana (pengurus) bertanya pada saya… ‘apa lagi kau nak dik,  kakak dengar lagu itu dah sedap dah.’

“Hakikatnya, memang saya mahukan yang benar-benar memuaskan hati. Hasilnya, inilah… lagu Semakin yang makin mendapat tempat di hati semua pendengar,” katanya lagi.

Dalam konsert yang sama, Sarah turut berduet dengan Shuib melalui lagu Kejoraku Bersatu, lagu Sandarkan Pada Kenangan bersama Mark Adam serta bapanya, Raissuddin Hamzah melalui lagu duet, Jangan Ada Dusta Antara Kita. 

Siti Sarah dan Mark Adam nampak serasi menyanyikan Sandarkan Pada Kenangan.