Keinsafan seorang pemuda dalam “Tasbih Rindu”

ISU kekeluargaan dan garapan konflik yang meruntun perasaan dalam drama bersiri “Tasbih Rindu” yang sedang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) setiap Isnin hingga Khamis, pukul 11.30 pagi di TV1.
Menampilkan gandingan pelakon Shah Jaszle, Josiah Hogan, Mardiana Alwi, Hafidzuddin Fazil dan Dr Nora Hendon Faeizah. Kemunculan pelakon kanak-kanak Habiel Luttfillaah yang memegang peranan besar menyuntik keinsafan seorang pemuda kembali ke jalan yang benar.

Cerita bermula apabila Ryan diculik sekumpulan penjenayah Sani, Mamat dan Siva. Ryan dikurung di dalam sebuah rumah kosong dan terpencil sementara menunggu untuk mendapatkan wang tebusan. Ibu bapa Ryan, Dato Jamil
dan Datin Kathy tidak keruan dan cemas apabila menerima panggilan penjenayah supaya menyerahkan wang tebusan berjumlah RM1juta dalam masa 24 jam untuk membebaskan anaknya.

Sani mengarahkan Mamat dan Siva menunggu di lokasi di mana penghantaran wang tebusan akan dilakukan. Pada masa sama, Sani belot dan mengarahkan Dato Jamil menghantar wang tebusan di lokasi lain. Mamat dan Siva yang hampir ditangkap polis cuba menghubungi Sani tetapi gagal. Sani bagaimanapun dapat menipu Dato Jamil untuk menyerahkan wang tetapi tidak menyerahkan Ryan. Pada masa sama, Ryan berjaya melarikan diri dari penculik. Ryan tercedera sewaktu melarikan diri dan diselamatkan tanpa diketahui oleh siapa.

Datin Kathy bagaikan putus harapan untuk mendapatkan Ryan semula. Mak Mah cuba menenangkannya. Mamat pula terus mendera Sani untuk mendapatkan wang tebusan yang disimpannya. Sani cuba memujuk Siva melepaskannya ketika Mamat meninggalkan mereka berdua tetapi gagal.

Di rumah, Ryan yang dengkel agama mula terkesan dengan Afeef yang walaupun baru berusia 7 tahun cuba membimbingnya untuk membaca Iqra dan bersolat. Ryan jua berasa kasihan kepada Suri, seorang ibu yang penyayang. Sarah yang bertandang ke rumah Dato Jamil cuba memberitahu sesuatu mengenai Ryan.

Di rumah Dato Jamil, Sarah bercerita perangai buruk Ryan suka berjudi dan meminjam wang Along. Bagi menenangkan fikiran Dato Jamil cuba mendekati diri dengan Tuhan. Mamat dan Siva pula membawa Sani ke rumahnya untuk mengambil wang tebusan yang diberitahu Sani ditinggalkan di rumah. Malangnya Sani melarikan diri. Di rumah Suri, Ryan yang semakin sihat lebih berjinak dengan agama dan membantu Suri meringankan beban kewangan dengan
menyerahkan jam tangannya untuk dijual.

Suri dapat berita daripada Kak Eton yang Jidin ternampak mayat Sani di hutan tetapi apabila diperiksa didapati mayat telah hilang. Sejak itu Suri seperti tidak keruan. Dato Jamil pula dimaklumkan pihak polis telah menemui Siva dan kini sedang koma di hospital. Berita ini memberi harapan kepada keluarga Dato Jamil terutama isterinya Datin Kathy yang
anaknya akan dapat diselamatkan.

Ketegangan berlaku apabila tiba-tiba Mamat mengugut Sani dengan pistol dan meminta dia menyerahkan wang tebusan. Sani terpaksa mengikut perintah Mamat dan ketiga-tiga mereka bergerak keluar dari rumah. Dalam perjalanan Ryan yang pengsan ditinggalkan di dalam hutan. Ryan yang ditinggalkan di hutan kerana disangka telah mati berjaya kembali ke rumah Suri.

Banyak ketegangan dan rasa cemas berlaku dalam Tasbih Rindu. Teruskan menonton drama bersiri ini. Bagi yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka boleh menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.