Kecoh! Hantu raya kacau orang kampung…

KAU, Aku Hantu Raya” sebuah cerita yang dilakonkan Shafie Naswip, Talha Harith, Mimi Lana, Shakila Khoriri dan Azlee Senario. Mengisahkan sebuah kampung menjadi kecoh dengan gangguan hantu raya.

Menjadikan lebih kacau apabila dilihat hantu raya merayau di seluruh kampung. Semua penduduk jadi terganggu. Bermacam-macam ikhtiar yang diusahakan oleh orang kampung untuk menangkap dan menghalau hantu berkenaan. Sehinggakan ada yang memburunya ke hutan dan gagal pula mencari jalan pulang.

Telefilem yang memaparkan kegelisahan penduduk dengan datangnya hantu raya ini akan disiarkan pada 17 Oktober ini pukul 9.30 malam di saluran TV2.

Mimi Lana, Syafie Naswip, Talha Harith dan Shakila Khoriri…

Kisahnya bermula dengan memperkenalkan sebuah kampung menjadi kecoh apabila Pak Usop mengeluarkan cerita mengenai Tok Jidin seorang bomoh di kampung tersebut yang telah meninggal dunia 100 hari yang lalu.

Ia kemudiannya dikaitkan dengan kehadiran hantu raya peliharaannya di kampung mereka. Ditambah dengan cerita penduduk kampung yang mendakwa pernah melihat lembaga berambut panjang dan berkain kapan berkeliaran ke sana sini.

Fifie anak ketua kampung secara bergurau telah mencabar teman lelakinya Azlim supaya membawa hantu raya kepadanya sekiranya dia benar-benar cintakannya. Menyahut cabaran itu Azlim telah berjumpa dengan Pak Akob dan secara bergurau menyatakan paku yang dipinjamnya itu pernah digunakannya untuk menangkap pontianak.

Percaya dengan cerita Pak Akob, Azlim dan kawannya Ajak masuk ke hutan pada malam raya untuk mencari hantu yang didakwa. Malangnya mereka sesat dan tidak bertemu jalan keluar. Akhirnya mereka diselamatkan oleh Orang Asli dan beraya di rumahnya.

Satu kampung menjadi kecoh apabila pada awal pagi Fifie melihat hantu raya sedang mencuri makan di rumahnya dan memberitahu ayahnya yang baru selesai bersolat Subuh di masjid. Orang kampung beramai-ramai memburu hantu raya dan apabila ditangkap dikenal pasti hantu raya itu adalah anak penduduk kampung sebelah yang berpenyakit mental.

Sama-sama ikuti kisah selanjutnya nanti. Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga boleh ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.