KARYAWAN terkilan VIDA rendahkan martabat artis

KEMELUT di antara pengusaha produk kecantikan dan kesihatan Datuk Seri Vida dengan penyanyi Aishah masih belum menemui jalan penyelesaian. Bersama peguam, Aishah sudah memberi tempoh masa satu minggu kepada usahawan itu untuk menyelesaikan dua tuntutan.

Tuntutan tersebut adalah permohonan maaf dengan liputan meluas dan menggantikan barang kemas senilai dengan harga didakwakan Vida iaitu berjumlah RM80 ribu.

Datuk Seri Vida

Sementara itu, Vida mengaku tidak berniat untuk mempermainkan artis yang menyertai pertandingan nyanyian terbitan Astro itu. Malahan dia mengatakan hanya ingin membantu menaikkan martabat ‘artis-artis sendu’ lapornya kepada sebuah portal.

Kenyataan Vida itu membuatkan ramai tidak bersetuju termasuk artis. Bahkan penggiat seni yang menyatakan rasa kecewa dan berkecil hati.

Ekoran itu, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menyelar kenyataan Vida. Menurut Presidennya, Datuk Freddie Fernandez kata-kata sedemikian tidak seharusnya keluar hanya disebabkan perselisihan faham yang tercetus antara Vida dengan Aishah.

Freddie Fernandez

“Individu seperti Datuk Seri Vida yang merupakan usahawan berjaya memang diperlukan oleh dunia hiburan bagi memberi sokongan modal melalui penganjuran acara ataupun rancangan.

“Namun bukan bermakna dia boleh melakukan apa saja atau mengeluarkan kata-kata yang bersifat merendah-rendahkan martabat para artis tanah air sebagaimana yang dilafazkan baru-baru ini,” ulas Freddie.

Tambah Freddie, Aishah sebagai orang lama dalam industri banyak berjasa kepada dunia muzik, begitu juga Vida yang disifatkan sebagai usahawan berjaya. Freddie berharap isu yang timbul dapat diselesaikan sebaiknya untuk mengelakkan kenyataan beremosi lalu membuatkan ramai pihak terkesan.

“Aishah merupakan senior industri yang mempunyai banyak jasa serta amat dihormati manakala Datuk Seri Vida pula seorang hartawan dan usahawan yang berjaya.

Aishah cukup top dengan lagu Janji Manismu.

“Alangkah indahnya jika isu yang timbul dapat diselesaikan secara kekeluargaan demi mengelakkan dari terkeluarnya pelbagai kenyataan kontroversi yang tidak bersesuaian dan beremosi.

“Perbalahan seperti ini akhirnya hanya mengguris hati pelbagai pihak, sekali gus memberi impak negatif kepada diri masing-masing,” ujar Presiden Karyawan yang mengharapkan sebuah penyelesaian yang baik.

Sumber: Malaysiakini