“Kalau Tak Menang, Sia-sialah Jadi Guru Vokal”- ERNIE ZAKRI Pernah Merungut

SUDAH menang Vokal Terbaik, maka timbullah pula cakap-cakap, memang wajar Ernie Zakri itu menang sebab diakan guru vokal? Kalau tak menang, maka sia-sialah bergelar guru vokal.

Ernie dan pasangan duetnya, Syamel merangkap pencipta lagu Aku Cinta, merampas anugerah tersebut yang pernah empat kali dimenangi Dayang Nurfaizah.

“Kalau tak menang pun, saya tak malu sebab inikan pertandingan, apa-apapun boleh berlaku.

“Saya selalu sematkan dalam fikiran, sebelum naik ke atas pentas membuat persembahan, harus fokus dan beri komitmen sepenuhnya tanpa memikirkan soal menang mahupun kalah.

“Selepas diiktiraf sebegini, saya bersyukur dan sekaligus berterima kasih kepada Syamel untuk peluang bergandingan dengannya buat pertama kali di pentas berprestij,” ungkap Ernie sewaktu ditemubual Mangga Media semasa sidang media Anugerah Juara Lagu ke- 32 (AJL32) di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Ahad lepas.

Keserasian dan kualiti vokal Ernie-Syamel mengagumkan banyak pihak.

Dilihat sebagai pasangan duet generasi baharu yang serasi dan mengagumkan khalayak, Ernie menyerahkan kepada takdir untuk kelangsungan karier selanjutnya.

“Saya dan Syamel sudah melaksanakan tanggungjawab sehabis baik. Dengan sokongan orang ramai, kami akan terus berduet, andai ada peluang dan lagu pula sesuai.

“Semuanya terpulang pada rezeki. Saya dah aktif cukup lama. Awalnya saya lambat dikenali dan popular.

“Dulu, saya pernah merungut dan mengeluh kerana sedih melihat perjalanan karier saya ketika itu ibaratnya tidak ke mana.

“Tetapi saya tidak mahu cepat mengalah. Saya tenangkan hati kerana semuanya ketentuan Tuhan.  AJL32 ialah platform terbesar dalam meneruskan karier nyanyian.

“Selepas ini saya tak boleh berdiam diri, harus segera ligat meneruskan karier. Tak boleh duduk bergoyang kaki. Penghujungnya nanti, semuanya saya serahkan pada takdir Tuhan,” ujar Ernie lagi yang juga merupakan anak saudara kepada Ziana Zain dan Anuar Zain.