“Kadang-kadang Terlepas Juga, Kita Pun Bukannya Baik Sangat”- SAHARUL RIDZWAN Elak Sentuh Wanita Lain

 

BUKAN kerana desakan sesiapa, Saharul Ridzwan berpegang pada prinsip untuk tidak menyentuh wanita-wanita lain di dalam kerjayanya sebagai pelakon.

“Sebenarnya, sebelum kahwin lagi saya sudah praktikkan benda tersebut walau kadang-kadang terlepas juga.

“Sebab kita ini bukanlah sempurna sangat dan tidaklah sebaik-sebaik alam. Apa yang boleh dielak, saya akan elak.

“Kadang-kadang apa yang tertulis dalam skrip, saya bawa berbincang dengan pengarah menjelaskan pendirian saya. Syukurlah kebanyakan pengarah memahami.

“Saya akan cuba mengelak benda yang tidak sepatutnnya. Bukanlah sebab nak jaga hati isteri, tetapi inikan tuntutan supaya tidak berlebih-lebihan,” ujar Saharul kepada Mangga Media.

Memahami tuntutan drama yang ada memerlukannya beraksi romantis, namun bintang drama Kau, Aku, Kita ini yakin ianya dapat disempurnakan mengikut skrip tanpa adegan melampau-lampau.

Saharul juga menjelaskan, isterinya Deena Emir tidak meletakkan sebarang syarat tetapi sangat menyokong dan memahami kerjayanya. Mereka baru lima bulan bergelar ibu bapa kepada bayi lelaki, Muhammad Luth Ali.

“Isteri saya semasa ditanya wartawan mengatakan dia tak tengok sangat drama Melayu, apatah lagi drama lakonan saya.

“Dia jenis tak suka sangat tengok TV. Saya ada jugalah bawa dia ke lokasi drama untuk lihat sendiri kerja saya. Tapi hanya sekali itulah dia nak datang tengok.

“Saya anggap inilah percaturan yang telah Allah tentukan. Saya dikurniakan seorang isteri yang memahami kerjaya saya,” katanya lagi yang kini sedang sibuk di lokasi drama bersiri, Zahir Tak Terucap.

Drama berkisar kekeluargaan itu meletakkan Saharul berlakon sebagai adik-beradik dengan Aeril Zafrel. Turut berlakon, Raysha Rizrose.