Jurulatih Kecerdasan Dari Sarawak Individu Paling Gagah 2017, Raih RM 30, 000

Vincent Mallang (tengah) ketika dinobatkan individu paling gagah 2017

R U Tough Enough? The Ultimate Edition KIX HD menobatkan Jurulatih Kecerdasan dari Sarawak, Vincent Mallang sebagai Individu Paling Gagah 2017!

KIX HD (Astro Channel 729), saluran utama untuk hiburan berbentuk aksi di Asia, telah mengumumkan keputusan R U Tough Enough?: The Ultimate Edition, dengan menobatkan Vincent Mallang, seorang pakar kecerdasan dan peminat parkour sebagai Individu Paling Gagah 2017 dalam pertandingan yang menyaksikan persaingan sengit antara 10 peserta akhir.

Dalam pertandingan ini, Mallang, anak kelahiran Bidayuh-Kayan yang tidak asing lagi terhadap kesakitan dan  kecederaan sehingga pernah terpatah pergelangan tangan disebabkan pergerakan parkour, kemudiannya bertanding dalam pusingan bonus bersama tiga bekas pemenang R U Tough Enough? tahun 2014 ke 2016 dan berjaya menjadi johan.

Kemenangannya dalam pertandingan akhir menobatkan beliau sebagai Juara Utama R U Tough Enough?, dengan membawa pulang hadiah utama keseluruhan bernilai RM30,000.

Di pertandingan peringkat akhir ini, keseluruhan ruang Orange Concourse di Sunway Pyramid dipenuhi dengan rintangan dan cabaran yang menguji kekuatan fizikal, ketahanan mental dan daya tahan emosi setiap peserta akhir.

Penonton menyorak sokongan kepada para peserta akhir, demi menaikkan semangat mereka ketika berjuang mencapai kejayaan.

Ia kemudiannya bertukar menjadi sorakan kegembiraan setelah Mallang berjaya mencapai semula genggamannya pada tali dalam acara terakhir pusingan bonus apabila tangan beliau tergelincir, dan seterusnya beliau dinobatkan sebagai pemenang R U Tough Enough? 2017.

Aksi Vincent dalam salah satu tugasan

“Saya sentiasa yakin pada diri sendiri dan memenangi R U Tough Enough?: The Ultimate Edition pada tahun ini telah membuktikan saya mempunyai bakat terpendam.

“Ia satu keistimewaan dan  penghormatan dapat bersaing dengan semua peserta akhir yang hebat kerana mereka memberi saingan yang amat getir! Kesimpulannya, saya percaya kegagahan seseorang bergantung kepada berapa kali anda sanggup bangkit semula walaupun ribuan kali mengalami kegagalan.

“Pada hari ini saya sungguh tabah dan amat berterima kasih kepada semua yang telah memberi sokongan,” kata Vincent.

KIX HD menawarkan hiburan aksi tanpa henti kepada penonton setiap hari dan kini kita melihat kisah dan watak ini muncul di pertandingan akhir R U Tough Enough?.

Kesemua mereka telah memperlihatkan kesungguhan, kekuatan dan kecekalan yang hebat contohnya juara kami, Vincent Mallang yang tidak putus asa dan telah melakukan usaha berani untuk bangkit semula walaupun beliau tergelincir sewaktu hampir mencapai kejayaan. Beliau benar-benar menonjolkan semangat R U Tough Enough?