Jodoh tak panjang… hati saya hancur – ZULIN AZIZ

KALAU sebelum ini pelakon, pengacara dan penyampai radio Zulin Aziz (28 tahun) berkongsi rasa bahagia untuk mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya, namun impian kebahagiaan yang ingin dikecapi itu tidak kesampaian.

Zulin yang semakin cantik dan sanggup menguruskan badan demi untuk bakal suami…

Terbaru, melalui entri di akaun instagram milik Zulin, beliau meluahkan rasa betapa hancur hati wanitanya.

“Saya pernah berkongsi tentang perancangan saya untuk berumah tangga bersama dengan jejaka yang saya kenali sejak tahun lalu. Ya, saya sudah bersedia, itulah doa dalam tahajud saya. Ya Allah temukan aku dengan lelaki yang dapat membimbingku ke jalan-Mu. Akhirnya saya diketemukan dengan dia. Dia menerima saya apa adanya.

“Saya sangat bahagia. Saya bersungguh-sungguh kuruskan badan sebab nak nampak cantik di hari perkahwinan nanti. Kerana menghargai kehadirannya dan kesungguhannya menyunting saya untuk dijadikan isteri, saya ciptakan lagu khas buatnya. Saya nak buat kejutan di hari bersejarah itu nanti. Segalanya sudah dirancang kemas, tinggal lagi dia dan keluarganya datang ke sini seperti yang dijanjikan.

“Saya pun sudah sering berulang-alik ke sana ke mari. Lagu pun dah siap. Tak sabar saya nak bagi dia dengar. Saya tulis lagu ini sepenuh hati saya.

“Kita hanya merancang tetapi Allah sebaik-baik perancang. Hubungan kami gagal. Jodoh tak panjang. Sebabnya tidak dapat saya kongsi, terlalu peribadi. Hati saya hancur hanya Allah sahaja yang tahu. Jadi lagu yang saya dah cipta penat-penat itu untuk apa? Nak buat apa?

“Saya cuba kuatkan semangat dan mengambil hikmah di sebalik kejadian. Saya terpaksa tukar lirik lagu itu sesuai dengan keadaan sekarang dan teruskan hasrat saya walau tujuannya berbeza kalau sebelum ini nak dijadikan lagu tema perkahwinan kami tapi sekarang dah jadi lain. Benda pun dah siap, bersusah payah saya buat, saya keluarkan duit sendiri, takkan saya nak simpan sahaja.

“Saya ambil jalan ini untuk teruskan juga. Tak apalah, jadi saya buat muzik video. Saya gantikan dengan sesuatu yang baru.

“Terima kasih yang mendoakan dan memberi saya kata-kata semangat. Bukan mudah, saya perlukan masa nak ‘hadap’ semua ini. Tapi bila saya baca komen anda  semua, saya sangat bersyukur sebab ramai yang sayangkan saya.

“Semoga urusan ini dipermudahkan. Saya cuba menjadikan kegagalan ini sebagai kejayaan di sudut yang lain. Manalah tahu, hari ini saya meredah hujan, esok saya nikmati pelangi.”

Persiapan perkahwinan, Zulin bersama pereka fesyen gaun pengantin… (antara gambar yang dikongsi Zulin menerusi instagram miliknya).

Mangga Media turut mendoakan semoga Zulin tabah menghadapi ujian ini dan ditemukan dengan lelaki yang baik yang boleh membimbingnya ke jalan Allah seperti diimpikan Zulin.