Jauh Lagu Kisah Cinta Najwa Latif?

MESKI sibuk dengan pengajian, penyanyi Najwa Latif masih punya ruang masa untuk para peminatnya.

Bagi mengisi kalendar kerjaya tahun 2018, Najwa muncul dengan single terbaharu berjudul Jauh.

Masih berkonsepkan pop, lagu terbaharu ini merupakan gandingan karya antara beliau dan kakaknya,  Ika Latif, seorang penulis lirik yang tidak asing lagi dalam lagu-lagu ciptaan Najwa Latif sendiri.

Sebaik sahaja muzik video rasmi Jauh dilancarkan di Youtube, pelbagai reaksi diterima Najwa. Malah ada sebilangan komentar membuat andaian yang lagu Jauh itu mengisahkan tentang kisah peribadi beliau.

“Lagu Jauh ini tiada kena mengena dengan cerita peribadi saya. Ia hanyalah situasi rindu ketika berjauhan yang mungkin semua orang pernah alami.

“Terpulang pada para pendengar untuk mentafsirkan “jauh” dari sudut individu itu sendiri,” kata Najwa yang pernah hit menerusi lagu Cinta Muka Buku dan Sahabat.

Penyanyi muda ini masih merangka strategi bagi  mempromosikan Jauh ke seluruh negara. Beliau mengharapkan agar lagu baharu ini  dapat menyerlahkan kematangan dalam penciptaan lagu seiring dengan usia penglibatan di dalam industri seni.

“Setelah tujuh tahun berkecimpung dalam penggubahan lagu,  saya mahu dewasa bersama karya-karya saya. Saya akan terus belajar sedikit demi sedikit bagi memenuhi halwa telinga para peminat.

“Saya juga mengharapkan agar lagu Jauh akan berada dekat di hati anda semua,” ujar Najwa dalam kenyataan kepada Mangga Media. Video muzik rasmi Jauh sudah boleh ditonton di saluran Youtube, Najwa595 https://youtu.be/z68IxMFWcbI