Jarak Usia 10 Tahun, Priyanka Chopra Cinta ‘Anak Ikan’ Nick Jonas?

JARAK usia berbeza 10 tahun menjadi intipati gosip hubungan cinta antara bintang Bollywood yang semakin bersinar di Hollywood, Priyanka Chopra, 35, dengan penyanyi, Nick Jonas.

Heboh gosip dipetik dari US Magazine menyatakan kedua-duanya dilihat intim sewaktu menyaksikan konsert Beauty And The Beast di Hollywood Bowl, baru-baru ini.

“Mereka baru saja menjalin hubungan. Kedua-duanya dilihat sepadan walau jarak usia yang jauh. Mereka saling tertarik.

“Priyanka dan Nick tidak langsung menyembunyikan keintiman. Mereka berbual mesra sambil ketawa, menggambarkan kebahagiaan,” ujar satu sumber terdekat.

Walau bagaimanapun, masih belum ada sebarang penjelasan daripada kedua-dua bintang ini mengenai gosip yang semakin heboh diperkatakan.

Biasalah, ada netizen menyokong malahan tidak kurang juga mengecam hubungan ibarat adik dengan kakak ini.

Pelakon filem box office Bajirao Mastani ini pernah menepis gosip tersebut semasa diundang dalam program bual bicara Jimmy Kimmel apabila kedua-duanya dilihat sama-sama menghadiri MET Gala 2017.

“Memang betul kami duduk semeja dan kami sememangnya sudah saling kenal baik.  Dia (Nick Jonas) bertanya apakah mahu pergi bersama-sama? Saya jawab mengapa tidak.

“Dan akhirnya terjadi seperti itulah, kami duduk semeja di majlis tersebut,” jawab Priyanka yang turut terkenal menerusi siri Quantico di saluran AXN.