Jailangkung Filem Seram Paling Laris Indonesia

Jailangkung mencatat jumlah 2.7 juta penonton sekaligus menjadi filem seram paling laris di Indonesia

JAILANGKUNG bermaksud patung kayu dan menjadi judul filem seram Indonesia paling laris tahun ini sejak ditayangkan pada musim raya lalu, 25 Jun.

Filem gandingan hero heroin muda yang sedang naik daun, Jefri Nichol dan Amanda Rawles bakal beredar di pawagam Malaysia bermula 10 Ogos ini.

Jailangkung mencatat jumlah 2.7 juta penonton sepanjang dua minggu ditayangkan di sana. Sekaligus mengenepikan filem seram lain, Danur, dari segi jumlah kutipan jualan tiket.

Jalan cerita Jailangkung bermula apabila Ferdy ( lakonan Lukman Sardi) berada dalam keadaan koma tanpa mengetahui puncanya.

Ketiga-tiga anaknya, Bella (Amanda Rawles), Angel (Hannah Al Rashid) dan Tasya (Gabriella Quinlyn) mula mencari punca di sebalik misteri tersebut.

Dengan bantuan teman Bella iaitu Rama (Jefri Nichol), mereka mengetahui yang Ferdy telah terlibat dengan permainan menggunakan patung kayu iaitu Jailangkung yang memanggil roh si mati kembali.

Namun roh siapakah yang Ferdy panggil? Bella, Rama, Angel dan Tasya pergi ke rumah rahsia bapanya untuk mengembalikan sesuatu namun pelbagai gangguan mereka hadapi.

Gandingan kedua Jefri Nichol dan Amanda Rawles di Jailangkung selepas filem Dear Nathan

Filem arahan bersama Jose Poernomo dan Rizal Mantovani ini turut dibintangi, Wulan Guritno (sebagai Sarah), Augie Fantinus (Kapten Wardana) serta Butet Kertaradjasa (Eyang).

Jailangkung turut menjadi kolaborasi kedua Jefri Nichol dan Amanda Rawles setelah filem pecah panggung, Dear Nathan. Keserasian dalam filem menimbulkan gosip kononnya mereka bercinta.

Jefri Nichol, 18, memulakan filem perdananya, Pertaruhan. Sinetron popularnya, Pesantren & Rock n’ Roll Reborn.

Manakala Amanda Rawles, 17, kacukan Australia dan Indonesia, lahir di Jakarta pada 25 Ogos, 2000. Filem popularnya ILY from 38.000 Ft menerusi watak Tiara dan pernah tercalon kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Indonesian Box Office Movie Awards 2017.

Mereka bakal temui peminat Malaysia minggu ini bagi mempromosikan Jailangkung di sini.

Jefri Nichol aktor muda berusia 18 tahun yang sedang hangat di Indonesia

 

Baru berusia 17 tahun, Amanda Rawles sudah diangkat sebagai heroin filem