IZZMAD HARUN Buktikan Tidak Syok Sendiri

Izzmad Harun rajin perbaiki kelemahan diri

MANGGA pun turut bersedih apabila penyanyi bertubuh sedap Izzmad Harun, 24,  mengaku sering dihina oleh kawan-kawan baiknya sendiri.

MANGGA faham benar perasaan Izzmad sebab MANGGA pun pernah ‘ditikam belakang’ oleh kawan-kawan sendiri.

Izzmad dikatakan syok sendiri dan ‘berangan’ oleh kawan-kawan yang sepatutnya memberi semangat untuk lebih berjaya.

Cerita Izzmad Harun yang sudah lima tahun dalam industri, “kalau suara saya tak bagus, cakap depan-depan untuk saya memperbaiki kelemahan yang ada. Itu barulah kawan yang sebenar.

“Tipulah kalau saya cakap tidak pernah terkilan dengan kutukan kawan-kawan. Saya pernah tertekan dan disebabkan itu saya balik kampung untuk berehat.

“Malah saya pernah mahu berhenti menyanyi dan  cari pekerjaan di kampung saja. Tak payah nak berhadapan dengan orang-orang yang ‘plastik’.

“Namun melihatkan adik saya yang  juga orang kelainan upaya (OKU) kuat dan bersemangat meneruskan kehidupan, kenapa saya yang sempurna sifat begitu lemah dan cepat patah semangat? Itulah kata-kata yang bermain di fikiran saya.

Izzmad bersama adiknya Hazwana yang mengalami gangguan saraf di bahagian otak setelah menjalani 48 kali pembedahan.

“Saya mengambil semangat adik dan serapkan ke dalam diri saya. Jadi, saya bangkit meneruskan nyanyian dan rela dihina orang lain demi adik saya.”

Luah Izzmad yang bangkit semula dengan menyertai kelas vokal dan ternyata dia boleh menyanyi live.

Izzmad membuktikan dirinya mampu menyanyi secara live pada sidang media pelancaran lagu baharunya Bisa Pertama.

Sambungnya,” kalau ada yang cakap saya tidak boleh menyanyi live sebelum ini, terima kasih kerana ikhlas mengkritik kelamahan vokal saya.

“Sebelum muncul dengan lagu Bisa Pertama, saya ada belajar vokal selama beberapa bulan. Pembelajaran ini banyak membantu saya untuk menyanyi live dengan baik.

“Alhamdulillah… Ramai yang cakap vokal saya mengalami banyak perubahan positif. Namun, saya akan terus belajar vokal untuk memantapkan lagi ilmu yang ada.”

Izzmad menyanyikan lagu baharunya, Bisa Pertama secara live dalam sidang media baru-baru ini

Begitulah cerita Izzmad yang menangis ketika menyanyikan lagu Bisa Pertama kerana terkilan adiknya yang tidak dapat hadir  ke sidang media disebabkan pergerakannya yang terbatas.

Adik Izzmad, Hazwana mengalami gangguan saraf otak akibat pembedahan sebanyak 48 kali di bahagian kepala.

Izzmad Harun kini muncul dengan lagu kesembilannya, Bisa Pertama ciptaan dam penulis lirik Bayeng Black serta susunan muzik oleh Hadi Hassan.

Sebelum ini banyak lagu Izzmad menjadi lagu tema drama antaranya lagu Sahabatku, Inilah Cinta, Aiziah, Saat Ini, Bulan Bintang, Selalu Di Jiwa dan Saat Kau Jauh.

Selain menyanyi, Izzmad Harun juga adalah seorang pelakon.