INTAN SARAFINA Pertaruh Jika Aku Untukmu Setelah 15 Tahun

SETELAH 15 tahun tidak menghasilkan sebarang lagu dan album baharu, kini Intan Sarafina kembali memeriahkan industri muzik tempatan menerusi single terbaharu berjudul Jika Aku Untukmu.

Melodi balada ciptaan komposer Farouk Roman dan lirik oleh Amylea Azizan (pemenang tempat ketiga AF3), Intan mengakui teruja meskipun masih ada rasa risau dan gementar.

“Last album pada 2002 yang memuatkan lagu Duhai Malam bersama Warner Music. Sekarang, saya kembali dengan sebuah album baharu yang diisi sebanyak lima lagu termasuk single pertama, Jika Cinta Untukmu.

“Tinggal dua lagu lagi belum dirakam. Rasa risau jugalah, ada lagi ke orang nak dengar lagu-lagu dan beli album saya?

“Namun, setelah mendapat impak positif kesan kemunculan dalam Gegar Vaganza 3, menyuntik semangat untuk kembali serius menyanyi dan mengeluarkan lagu-lagu baharu.

“Mula-mulanya memanglah risau dan takut tidak lagi diterima peminat. Apatah lagi sekarang ini ramai penyanyi baharu yang muda-muda popular dengan genre muzik 90-an,” ujar Intan kepada Mangga Media yang diundang menyaksikan rakaman lagu single pertamanya itu di E-Studios, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Dua lagu lain yang sudah dirakam adalah ciptaan Tam Spider dan Ippo Hafiz. Selain kembali aktif menyanyi, ibu kepada tiga cahayamata lelaki ini turut serius berlakon. Beliau bergandingan Zarul Husin dalam telefilem Misteri Sofa Lama yang disiarkan Astro, baru-baru ini.

Turut bersama dalam rakaman tersebut ialah komposer Farouk Roman dan penulis lirik Amylea Azizan. Intan bernaung di bawah pengurusan LOL Entertainment dan albumnya edaran Indigital Music.

Intan Sarafina bersama komposer Farouk Roman (dua dari kiri) dan penulis lirik Amylea Azizan sewaktu rakaman lagu Jika Cinta Untukmu. FOTO: ZULFAIZ ZAKARIA