Insiden Karaoke: “Tutup Cerita, Nilailah Sendiri”- ALIFF AZIZ

 

Aliff Aziz ditemani isteri, Bella Astillah serta beberapa orang pengawal peribadi semasa bertemu pihak media di lokasi penggambaran drama Izinkan Aku Mencintaimu di Bandar Tun Hussein Onn. FOTO: EMMA HASSAN

PELAKON drama kontroversi Izinkan Aku Mencintaimu, Aliff Aziz, 26, menyerahkan sepenuh kuasa pada masyarakat untuk menilai sendiri kontroversi insiden karaoke dengan pelakon baharu Afifah Nasir selepas penjelasan yang dibuat oleh pengarah Manchi atau Mansor Akob.

Aliff ketika ditemui di lokasi penggambaran tidak mahu mengulas panjang mengenai konttroversi tersebut kerana baginya segala persoalan sudah terjawab.

“Saya secara peribadi sudah meminta maaf kepada semua pihak dan saya rasa rakyat Malaysia sudah penat dengan isu cerita ini.

“Saya dah cakap bahagian saya dan saya pun dah tak ada benda lagi nak cakap.

“Rakan media yang disayangi serta semua orang boleh menilai sendiri perkara ini jadi pada saya di situ dah dapat jawapan.

“Saya sendiri dah penat dengan apa yang berlaku jadi saya harap isu ini tutup dan nilailah sendiri,” jelas Aliff.

Sementara itu mengenai kehadiran beberapa pengawal peribadi bersamanya Aliff menjelaskan itu bagi menjaga keselamatan dan mengelakkan fitnah.

“Kehadiran pengawal peribadi bukan kerana saya takut tetapi bertujuan menjaga keselamatan dan mengelakkan fitnah.

“Apabila pihak sana ( Afifah dan teman lelakinya, Wan Ariff Wan Azhar) memberitahu mahu membawa pengawal peribadi, saya juga berbuat sedemikian,” ujar Aliff yang turut ditemani isterinya, Bella Astillah, selaku pengurus.

Afifah Nasir ditemani kekasihnya Wan Ariff di lokasi penggambaran drama Izinkan Aku Mencintaimu dekat Cheras pada Khamis

Di samping itu, Afifah yang turut ditemui di lokasi penggambaran drama di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor pasa Khamis, bersama kekasihnya Wan Arif tetap bertegas dengan pendiriannya sebelum ini.

“Hal ini ( dakwaan melayan kerenah Aliff) tidak semestinya semua krew produksi tahu.

“Kita buat benda ini (melayan kerenah Aliff) sebab ingin selesaikan penggambaran. Isu ke pusat karaoke pula hanya segelintir krew produksi yang tahu,” terang Afifah sambil meminta kontroversi tidak dipanjangkan lagi dan berakhir di lokasi penggambaran drama sebanyak 13 episod untuk siaran RTM itu.