Insiden Karaoke: Pengarah Nafi Dakwaan Afifah

Manchi atau Mansor Akob ketika ditemui pihak media di lokasi penggambaran drama Izinkan Aku Mencintaimu di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras pada Khamis. FOTO: EMMA HASSAN

PENGARAH drama kontroversi Izinkan Aku Mencintaimu, Mansor Akob atau Manchi menafikan dakwaan pelakon Afifah Nasir untuk rapat dengan aktor Aliff Aziz bagi melancarkan perjalanan penggambaran drama 13 episod untuk siaran RTM itu.

Ia sekaligus menyangkal dakwaan Afifah kononnya dipergunakan pihak produksi bagi melayan kerenah Aliff yang dikatakan mempunyai masalah disiplin pada drama tersebut.

“Tiada arahan sebegitu seperti yang didakwa Afifah. Saya juga tidak tahu menahu mengenai insiden karaoke melibatkan Aliff dan Afifah.

“Kami hanya cakap-cakap kosong di kalangan kami tapi itu bukan perancangan menyuruh mereka rapat.

“Soal masalah disiplin di set adalah normal itu biasa berlaku dalam mana-mana produksi.

“Tetapi saya jelaskan di sini, Aliff dan Afifah beri komitmen yang bagus pada drama ini. Soal datang lambat itu perkara biasa tetapi penggambaran lancar dan mereka tetap beri kerjasama baik pada penggambaran,” jelas Mansor ketika ditemui Mangga Media serta beberapa wakil media tempatan di lokasi penggambaran di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor pada pagi Khamis.

Mengenai insiden karaoke di Taman Shamelin, Cheras, pada Khamis, 27 Julai, Mansor berkata,” Perancangan di pusat karaoke itu saya tak tahu.”

Terdahulu menerusi sidang media bersama Afifah pada Isnin lalu beliau mengakui kejadian di pusat karaoke itu merupakan atas urusan kerja.

Malah Afifah turut menjelaskan itu adalah salah satu perancangan yang diatur pihak produksi bagi melicinkan proses penggambaran.

Bagaimanapun penjelasan Afifah itu disangkal Aliff dan menyifatkan ianya sebagai mengarut serta tidak masuk akal.

Penggambaran masih diteruskan sehingga esok, Jumaat 11 Ogos. Bella Astillah juga berada di lokasi bersama dua orang pengawal peribadi menemani suaminya, Aliff.