“Ini Peringatan, Teguran & Hukuman Allah”- Rhoma Irama Ulas Gempa Bumi Lombok

Haji Rhoma Irama kini berusia 72 tahun.

RAJA Dangdut Indonesia, Rhoma Irama, 72, terpanggil menyuarakan pandangan mengenai kejadian gempa bumi yang menimpa pulau percutian popular, Lombok, sejak 5 Ogos lalu.

Gempa susulan terjadi sekitar 20 jam lalu yang mendapat perhatian seluruh dunia di mana angka korban terkini susulan kejadian gempa bumi di pulau peranginan Lombok, Indonesia meningkat kepada sekurang-kurangnya 347 mangsa.

Menurut laporan berita antarabangsa yang memetik agensi Antara, sebanyak 1,447 mangsa dilaporkan mengalami kecederaan manakala 165,003 dipindahkan ke petempatan lebih selamat.

Manakala, kira-kira 2,000 pelancong juga telah dipindahkan dari beberapa kepulauan terkenal di Lombok.

Kejadian ini juga mengingatkan kita pada Tsunami Aceh pada 2004 yang meranapkan seluruh negeri tersebut.

“Bencana bukan sesuatu yang kebetulan tapi Allah yang menciptakan itu. Jika orang mengatakan secara sains dan teknologi, tapi memang ada sebabnya.

Banyak kediaman dan harta benda musnah akibat gempa bumi Lombok.

“Yang pasti semua itu dari Allah. Bencana ini motif Allah ada tiga. Yang pertama cubaan, kedua teguran, dan ketiga adalah hukuman.

“Ini peringatan supaya manusia itu menjadi lebih baik. Kalau sama sekali tidak baik pada Allah dan manusia, itu hukuman.

“Jadi, bencana yang terjadi di Indonesia ini bukan sekadar ujian aja ya… tetapi agar kita menjadi lebih cerdas, beriman, adil dan lebih baik,” ungkap penyanyi legenda yang terkenal melalui lagu Begadang.

Pulau peranginan Lombok dikatakan memiliki banyak pantai indah berbanding Bali. Bali mempunyai lebih 90 peratus rakyat beragama Hindu, sedangkan Lombok hampir kesemua penduduknya beragama Islam.

Bahkan, Lombok kerap dijadikan lokasi penggambaran filem antaranya filem popular Indonesia, Arisan 2 pada 2012 serta sebuah drama terbitan Pena Creative, lakonan Fathia Latiff dan Shukri Yahaya.

Penduduk menyelamatkan diri berikutan gempa bumi susulan sekitar 20 jam lalu.