Hukum Suami Bersetubuh Dengan Madu Hadapan Mata Isteri

Isteri mana tidak sedih apabila suami lebih mengutamakan madu. Apatah lagi tidur sekatil bertiga.

MANGGA pun boleh cemburu jika kekasih rapat dengan orang lain, apatah lagi seorang isteri melihat kemesraan suami dengan madunya. Pahit dan pedih hati kan?

Begitulah yang terjadi kepada seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Neng dari Kuala Lumpur.

Neng meluahkan masalah rumah tangganya kepada pendakwah terkenal, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Ini luahannya:

“Saya ibu kepada empat orang cahaya mata. Saya begitu kecewa terhadap suami yang akhirnya berkahwin lagi tanpa pengetahuan saya.

“Baru-baru ini saya didapati hamil, menyebabkan saya sering uzur dan lemah. Oleh sebab itu suami saya membawa isteri keduanya dan tinggal bersama di bawah satu bumbung, malah lebih menyedihkan kami tidur sekatil.

“Saya berasa amat sedih dengan keadaan ini apatah lagi jika mereka melakukan hubungan di sebelah saya.

“Adakah wajar saya menuntut cerai dan apakah pandangan Islam mengenai perbuatan suami saya ini?

“Adakah saya berdosa kerana cemburu melihatkan isteri kedua itu sangat manja dan suami saya sangat menyayanginya?”

Jangan lupa dapatkan buku soal jawab Fitrah Wanita bersama Datuk Dr. Masyitah

Ini jawab Datuk Dr. Mashitah Ibrahim:

“Puan, bagi seorang wanita, memang sangat mengecewakan bila suami berkahwin satu lagi. Bagaimanapun jika ia sudah berlaku, wanita tidak boleh bermain dengan emosi lagi.

“Sebaliknya dia perlu tahu haknya supaya tidak dipermainkan. Puan perlu tahu bahawa syarat untuk berpoligami ialah kemampuan dan keadilan.

“Dari segi kemampuan, nampaknya masih dipertikaikan kerana dia tidak mampu menyediakan rumah (tempat tinggal) untuk isteri kedua.

“Suami tidak boleh membawa isteri kedua ke rumah isteri pertama kecuali isteri pertama redha, apalagi  meniduri dan ‘berhubungan’ di atas katil yang satu dengan isteri pertama memerhatikannya.

“Bukan sahaja dari segi keadilan suami sudah tidak adil, tetapi Islam melarang perhubungan itu ditonton oleh orang lain. Suami puan dalam hal ini adalah berdosa.

“Sifat cemburu adalah sifat semula jadi seorang wanita, oleh itu bukanlah perkara pelik untuk berasa cemburu dalam keadaan puan.

“Cuma bila memikirkan soal meminta cerai, puan perlulah memikirkannya masakk-masak. Lakukan solat istikharah dan timbanglah dengan saksama kemampuan diri puan sendiri.

“Orang lain tidak boleh membuat keputusan bagi pihak puan. Jika puan memilih untuk bercerai, lebih mudah jika suami dipujuk melepaskan dengan cara baik. Jika tidak, nampaknya terpaksalah melalui proses mahkamah.”

Begitulah penjelasan Dr. Mashitah yang turut bersimpati dengan keadaan yang dialami oleh Neng.

Kalau itu terjadi kepada MANGGA, MANGGA akan minta cerai secara baik. Sebagai manusia biasa yang banyak kelemahan, sudah tentu kita tidak mampu melihat orang yang kita cintai berasmara di hadapan mata kita sendiri.

Kalau nak baca banyak lagi soal jawab agama bersama Datuk Dr. Mashitah, bolehlah beli buku Fitrah Wanita di kedai-kedai buku seperti Gallery Bookstore berhampiran, atau hubungi bahagian pemasaran di talian: 03-89243888 / 03-89243977.

Teruskan bersama MANGGA ya!

Foto: instagram @weddingpeachofficial & @pammybottle