Hukum Mengata Orang, Muflis Di Akhirat

Dalam zaman sekarang, ramai sungguh suka mengata atau mengumpat tanpa soal siasat. Tambahan pula dengan adanya media sosial, seronoknya para netizen mengata orang macam-macam.

Ada seorang pembaca MANGGA bertanyakan hal ini. Ini soalannya:

Jika seseorang itu mengumpat, dia bukan saja akan mendapat dosa di atas apa yang telah diumpat, seolah-olah menabur fitnah, malah dia juga akan menerima (mendapat) dosa yang diumpat itu. Adakah ini benar?

Untuk itu, pendakwah terkenal Datuk Dr. Mashitah Ibrahim ada jawapannya.

Ini jawapan Datuk Dr. Mashitah:

“Mengumpat adalah termasuk dalam dosa-dosa besar yang sangat dilarang dalam agama Islam. Perbuatan mengumpat boleh memecah belahkan masyarakat, menggugut perpaduan umat kerana ia membuka keaiban jika ia benar, dan dikira sebagai menabur fitnah jika ia tidak benar.

“Mereka yang mengumpat tidak akan terlepas daripada dosa sehingga dia memohon ampun daripada Allah dan juga dari manusia yang diumpatnya.

“Islam agama yang adil, setiap manusia akan menanggung dosanya sendiri. Tidak ada orang yang akan menanggung dosa orang lain.

Banyak soal jawab tentang wanita dalam buku Indahnya Islam

“Bagaimanapun, ada sebuah hadis di mana Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Tahukah kamu siapa orang muflis di akhirat? “

Sahabat menjawab, Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Nabi menyambung,” muflis di akhirat bukan kerana tiada duit tetapi orang yang berdosa mengata orang, lalu kebaikannya diberikan kepada orang yang dikutuk dan dikatanya di dunia sehingga habis kebaikannya dan masih belum terampun dosa dia mengutuk dan masih ada dosanya, lalu diambil dosa orang yang diumpat dan diberikan pula kepadanya.”

Takut kan? Haa.. Jadi janganlah mengata orang tau! MANGGA juga nak nasihatkan kepada Netizen, cukup-cukuplah mengata orang tanpa usul periksa. Lebih baik mendoakan yang terbaik buat seseorang itu, bukan mengata dan menghasut sana sini.

Semoga apa yang disampaikan oleh Datuk Dr. Mashitah Ibrahim memberi manfaat kepada kita semua dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Insya Allah…

Kalau nak baca banyak lagi soal jawab agama bersama Datuk Dr. Mashitah, bolehlah beli buku Indahnya Islam di kedai-kedai buku seperti Gallery Bookstore berhampiran, atau hubungi bahagian pemasaran di talian: 03-89243888 / 03-89243977.

Teruskan bersama MANGGA ya!