Hip Hop Stereotaip, Joe Flizzow Ambil Inspirasi Filem Kill Bill & Seven Samurai

PENGHIBUR Joe Flizzow melancarkan muzik video single Melayu terbaharunya berjudul Sampai Jadi pada Jumaat, 13 April.

Beliau bergandingan dengan Alif (bekas ahli kumpulan duo SleeQ) untuk single ini dan proses ‘mastering’ disempurnakan jurutera bunyi tersohor dunia iaitu Chris Athens.

Muzik video Sampai Jadi bakal ditayangkan secara rasmi buat pertama kali di YouTube saluran SonyMusicKartel Vevo.

Sampai Jadi mengambil inspirasi besar daripada pengalaman Joe Flizzow dalam industri muzik yang terus gemilang kariernya sepanjang lebih dua dekad.

“Sampai Jadi berkisarkan tentang adab dan tingkah laku yang diperlukan untuk berjaya dalam industri muzik.

“Ia juga sebuah lagu untuk memberi motivasi kepada golongan muda untuk berkerja keras mengecapi impian dan cita-cita.

“Tiada benda yang mustahil untuk dicapai jika ada fokus dan disiplin.” kata Joe Flizzow dalam satu kenyataan kepada Mangga Media. 

Muzik video Sampai Jadi diarahkan oleh Zulamran Hilmi yang turut mereka cipta kulit depan single ini.

“Muzik video ini adalah gambaran visual kepada lagu itu, mengingatkan audiens bahawa kejayaan umpama pedang dua penjuru.

“Kita kena sentiasa peka terhadap seseorang, sentiasa merendah diri dan sebagai peringatan bahawa tiada jalan pintas untuk berjaya dalam hidup,” kata Joe lagi.

Konsep muzik video Sampai Jadi diinspirasikan daripada beberapa filem termasuklah Seven Samurai oleh Kurosawa dan Kill Bill (Quentin Tarantino).

“Tidak mahu membikin video hip hop yang stereotaip, kami menggunakan pendekatan berbeza dengan mentafsirkan setiap lirik lagu kepada visual.

“Visi kami untuk video ini adalah untuk menekankan status Joe Flizzow sebagai artis yang masih tersohor bukan sekadar pada muziknya malah visualnya juga,” jelas Zulamran.

Joe Flizzow membina reputasi tersendiri sebagai antara bintang hip hop berpengaruh di Asia. Sejak album Inggeris berjudul President dilancarkan pada 2009 dan memenangi pelbagai anugerah, bekas ahli kumpulan duo hip hop Too Phat ini meluaskan perniagaan Kartel miliknya.

Kini merangkumi syarikat rakaman (Kartel Records), agensi bakat (Kartel Agency), kolektif DJ (Kartel Hitmen), kedai gunting rambut (Joe’s Barbershop), selain jenama cenderahati (Budak Baek).

Beliau turut terbabit dalam proses menetapkan konsep dan menjadi penerbit eksekutif bersama untuk program Hip-Hoppin Asia di 8TV.

Ia adalah sebuah program travelog di mana Joe melawat tujuh negara sekitar Asia untuk bertemu komuniti hip hop di sana dan meneroka banyak lokasi kurang popular berbanding lokasi tarikan pelancong biasa.

Joe Flizzow melancarkan album paling berjayanya Havoc pada 7 Disember 2013 yang turut memuatkan single fenomenanya juga menggunakan judul sama.

Single keduanya Apa Khabar pula berjaya memenangi trofi Lagu Hip-Hop Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 21 selain mencipta sejarah menjadi lagu hip hop pertama memenangi Lagu Terbaik di Anugerah Juara Lagu (AJL).