Hati Terpaut Seorang Wanita, Baim Wong Takut Tak Jadi Kahwin

Baim Wong sudah bersedia mendirikan rumah tangga di usia 36 tahun

BANYAK kali bercinta dan putus cinta, aktor Baim Wong mengakui sudah bersedia berkahwin di usia yang sudah mencecah 36 tahun.

Awal tahun lalu impian bergelar suami hampir jadi kenyataan namun takdir menentukan percintaan dengan pelakon remaja, Vebby Palwinta, 21, juga kandas.

“Ramai yang tidak putus-putus bertanya bilakah mahu menamatkan zaman bujang? Usia semakin meningkat, rumah sendiri pun sudah ada, kerjaya pula semakin kukuh… ini yang dikatakan ramai orang tetapi hanya satu belum tercapai iaitu punya isteri!

“Kalau ditanya, iya sekarang ini memang teringin sangat nak kahwin,” akui Baim yang pernah juga dikaitkan bercinta dengan aktres Malaysia, Elfira Loy. Mereka bergandingan dalam telefilem berjudul Untuk Terakhir Kali.

Sesuatu yang harus dipuji tentang pemilik nama penuh Muhammad Ibrahim Wong ini ialah seorang sangat terbuka menjawab pertanyaan peribadi.

Beliau mengakui sedang intim dengan seseorang tetapi tidak dijelaskan sama ada wanita itu di kalangan orang seni atau sebaliknya.

“Baru aja kenal-kenal baik… Nggak mahulah ulas panjang lebar sebab belum tahu lagi apakah akan jadi atau nggak.

“Tetapi memang rapatlah. Saya pun pernah cakap padanya saya rindu kalau tak berjumpa

“Memang saya mengakui menyukai wanita tersebut. Keluarga juga sudah tahu dan keluarga mahu saya lebih berhati-hati dalam hubungan kali ini agar tidak kecewa lagi.

“Nantilah jika semuanya sudah confirm, saya pasti maklumkan kepada wartawan,” ujar Baim lagi.