HASNUL RAHMAT Tahan Diri Kena Mekap, Pakai Wig & Berkuku Panjang

PELAKON Hasnul Rahmat mengambil inisiatif sendiri dengan membuat kajian dan penyelidikan mengenai mitos, amalan mentera jampi serta ilmu hitam berkaitan kaum Batak, termasuk perihal tongkat Batak yang menjadi antara intipati filem kontroversi, Dukun.

“Semasa pembikinan filem ini 12 tahun lalu, zaman itu internet belum berleluasa. Filem itu satu sastera seperti membaca buku.

“Saya pergi ke perpustakaan buat kajian tentang mitos dan ilmu hitam tongkat kaum Batak di samping pergerakan kaum Batak itu sendiri.

“Tak semua kaum Batak itu jahat… orang Melayu pun ada yang jahat. Begitu juga kaum-kaum lain.  Dalam hidup ini kita tidak boleh lekang daripada mengakui bahawa ada benda lain wujud.

“Saya percaya di muka bumi Allah ini bukan hanya ada manusia tetapi juga haiwan, ada benda-benda mistik, ada bunian, jin yang menghuni muka bumi ini.

“Pada saya cara seseorang mencari pendinding diri itu bila ada ilmu agama yang kuat, itulah sebenarnya pendinding diri kita,” jelas Hasnul dalam satu temubual bersama Mangga Media di ibukota, baru-baru ini.

Bagi yang sudah menonton Dukun, barangkali ada yang tertanya-tanya apa kaitan watak Hasnul sebagai Danni dengan Diana Dahlan lakonan Datin Seri Umie Aida?

Apakah Danni itu suami, pembantu atau apa? Bagi yang belum tahu, hakikatnya Danni itu merupakan kembar lelaki kepada Diana, pewaris perempuan kuasa dukun kaum Batak yang memiliki tongkat sakti Batak.

Satu adegan watak Danni oleh Hasnul Rahmat dengan Karim Osman (Faizal Hussein), sebagai peguam yang mewakili Orang Kena Tuduh (OKT), Diana Dahlan. 

Danni dan Diana memiliki kuasa telepati yang dapat bertutur dari jauh dan memahami maksud tersirat di hati walau tidak bertemu empat mata.

“Pertama kali diberi tawaran oleh pengarah Dain Said, saya teliti skrip dan jalan cerita. Saya tertarik, ditambah dengan barisan pelakon terlibat semuanya hebat.

“Saya tak fikir panjang terus terima. Saya dapat rasakan Dukun memiliki jalan cerita luar biasa. Kehidupan pun ada hitam dan putih, ada terang serta kabur.

“Filem ini satu paparan bagus untuk mesej berfaedah kepada semua pihak.

“Yang saya rasa susah sebab kena pakai mekap,  harus berkuku panjang dan pakai wig panjang (rambut palsu) di samping babak yang banyak walau tiada banyak lontaran dialog.

“Saya cuba sesuaikan diri dengan watak Danni. Kesemua pelakon dan tenaga produksi beri kolaborasi baik. Saya berterima kasih kepada pengarah kerana memilih saya memegang watak Danni.

“Hasilnya kalian sudah saksikan sendiri. Saya puas hati,” ujar Hasnul lagi kepada Mangga Media.

Sudah memenangi pelbagai anugerah filem, kredibiliti Hasnul Rahmat tidak perlu dipertikai.

Sudah terang lagi bersuluh, hampir semua pelakon utama Dukun bergelar pelakon hebat dengan memenangi anugerah pada masa kini.

Hasnul diangkat sebagai Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia ke-16 melalui watak Tun dalam film KL Menjerit pada 2002.

Beliau juga memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin (2006) serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Skrin (2013).

Filem lain antaranya, Paloh, Lang Buana (2003), Gangster, Rock (2005), Maut (2009), Songlap (2011), KIL, Hanyut (2013) serta Tombiruo (2017).

Beliau turut membintangi drama bersiri Teratai Kemboja sebagai bapa kepada watak Nur Hidayah lakonan Fasha Sandha. Turut berlakon, Datuk Adi Putra dan Elly Mazlein.

Teratai Kemboja arahan Along Kamaludin terbitan Saphire Screen memulakan tayangan di slot Zehra TV3 Jumaat ini, 13 April.