HARIMAU MALAYA Tetap Juara Di Hati Rakyat Malaysia

PEMAIN Vietnam meraikan jaringan pertama yang disempurnakan Nguyen Anh Duc dalam final Piala AFF di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi hari ini. – AFP

Menang dan kalah adat pertandingan. Walaupun Harimau Malaya gagal membawa pulang Piala AFF selepas tewas 0-1 kepada Vietnam di Hanoi, sebentar tadi, mereka tetap membanggakan!

Memetik sumber dari Utusan Online, jaringan pantas Nguyen Anh Duc seawal minit keenam cukup untuk mengesahkan kejuaraan buat skuad Naga Emas, yang menumpaskan Malaysia menerusi agregat 3-2 selepas seri 2-2 dalam final pertama di Bukit Jalil, Selasa lalu.

Beraksi di depan lebih 40,000 penonton di Stadium Nasional My Dinh, Vietnam tampak amat bersemangat dengan mengatur serangan agresif pada awal permainan, sebelum mengejutkan pertahanan Malaysia menerusi rembatan Anh Duc yang menyempurnakan hantaran lintang.

Terkejut dengan jaringan pantas tuan rumah, anak-anak buah Tan Cheng Hoe bertindak balas dengan melakukan beberapa percubaan, terutama menerusi Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid, namun gagal menembusi benteng kebal Vietmam.

Peluang terbaik Malaysia untuk menyamakan kedudukan menerusi Syahmi Safari pada babak kedua dinafikan Dang Van Lam, sebelum penjaga gol tinggi lampai Vietnam itu sekali lagi cemerlang menepis sepakan percuma Safawi pada minit ke-54.

Aksi sengit yang dipertontonkan kedua-dua pasukan menyaksikan tujuh kad kuning dilayangkan pengadil dari Iran, Alireza Faghani iaitu empat kepada Vietnam dan tiga kepada pasukan negara pada babak pertama.

Kegagalan pulang bersama trofi menyaksikan kemarau lapan tahun Malaysia kini berpanjangan selepas kali terakhir muncul juara pada 2010. – UTUSAN ONLINE