Hantu Wangan Tiada Kaitan KL Wangan- AHMAD IDHAM

Ahmad Idham (dua dari kiri) bersama barisan pelakon utama Hantu Wangan, Cat Farish (kiri), Achey dan Nur Risteena Munim.

 

FILEM terbaharu arahan dan terbitan Ahmad Idham Ahmad Nadzri berjudul Hantu Wangan bakal ditayangkan di seluruh pawagam tempatan bermula 22 Mac depan.

Membaca judul filem itu sahaja tentulah membuatkan ramai pengikut industri perfileman tempatan cuba mengaitkannya dengan KL Wangan, arahan Pekin Ibrahim.

Pasti juga ada segelintir cuba menebak apakah Ahmad Idham cuba membuat filem parodi bagi menyindir KL Wangan?

Khalayak sedia maklum kontroversi yang melibatkan kedua-dua pengarah popular ini dalam isu penggunaan judul filem sama, Mat Moto.

“Perkataan wangan itu sangat popular digunakan kebanyakan pelumba kereta yang selalu berlumba sebelah malam.

“Wangan itu diambil dari sebuah nama lebuhraya di Jepun. Ia lebuhraya yang panjang dan selalu digunakan oleh pelumba untuk berlumba di sebelah malam.

“Jadi, sejak dua, tiga tahun kebelakangan ini, kebanyakan budak-budak pelumba kereta di sini menggunakan nama wangan ini kebagai kod untuk mengajak berlumba.

“Filem Hantu Wangan tiada kena mengena dengan KL Wangan. Ini filem seram komedi.

“Saya bagi contoh macam penggunaaan perkataan gengster dalam filem… ada filem KL Gangster, Gangster Rock dan Gangster Celop. Ia adalah perkataan yang sesiapa pun boleh gunakan.

“Maka, tiada istilah nama wangan itu menjadi hak milik sesiapa,” jelas pelakon drama bersiri popular tahun 1990-an, Cinderella ini kepada Mangga Media pada Isnin.

Bagaimanapun, berdasarkan sejarah kontroversi melibatkan mereka pastinya akan timbul cakap-cakap nakal di belakang mengatakan apakah pengarah filem hit Adnan Sempit itu sengaja menyindir filem KL Wangan?

“Kalau adalah cakap-cakap sebegitu sama ada orang kata saya mahu perli atau sebagainya, saya tiada hak untuk menghalang orang ramai daripada terus bercakap.

“Apa sahaja persepsi orang ramai saya tak boleh kawal. Saya buat filem ini adalah idea dan cadangan daripada kebanyakan  pelumba kereta yang mahukan sebuah filem seram komedi menggunakan perkataan wangan,” ujar Idham lagi.

Hantu Wangan berkisar tentang watak pelakon utamanya Achey dari kumpulan Bocey sebagai Kintang Kintung, seorang yang suka berlumba kereta secara haram di sebelah malam.

Antara babak menarik Hantu Wangan, arahan terbaharu Ahmad Idham.

Sering meraih kemenangan dalam perlumbaan kereta membuatkan Kintang berjaya dilantik menjadi duta. Suatu malam, ketika menyertai perlumbaan kereta, Kintang terlanggar seorang perempuan sehingga mati.

Sejak itu dia hilang semangat untuk berlumba dan sering diganggu kejadian mistik.

“Saya boleh katakan Hantu Wangan ini tahap seram komedi lebih kelakar berbanding Hantu Bonceng. Ini filem yang santai ceria untuk buat penonton hilangkan tekanan kerja,” ungkap Idham.

Tempoh penggambaran hanya mengambil masa 18 hari di lokasi sekitar Kuala Lumpur. Turut berlakon, Nur Risteena Munim, Cat Farish, Nor Albaniah serta Ruminah Sidek (Mak Mah).