HANNAH DELISHA Sanggup Jadi Buruk

Salah satu babak filem televisyen The Hantus, lakonan Hannah Delisha bersama Alif Satar.

PELAKON baharu yang semakin meningkat maju, muda pula berusia 22 tahun dan menjadi pilihan pengarah serta penerbit, perlukah Hannah Delisha sentiasa maintain cantik?

“Saya bersyukur diterima baik peminat Malaysia. Saya tak mahu terburu-buru mendadak naik. Biarlah lambat naik, asalkan peminat tahu kewujudan saya.

“Saya pun tak suka nak ambil banyak projek dalam satu masa. Biar fokus dan beri komitmen pada satu kerja. Biar tak banyak projek asalkan ada kualiti dan orang suka.

“Selagi ada rezeki saya akan terus berkembang maju. Saya tak kisah jadi buruk dalam drama atau filem. Bukanlah nak maintain cantik sahaja.

“Saya tak kisah pun jadi buruk,” ujar pelakon asal Singapura ini yang mulai dikenali menerusi drama Mencintaimu Mr Photographer bersama Syafiq Kyle.

Filem pertamanya Langsuir, arahan Osman Ali sedang menanti tayangan. Dalam membina kerjaya, gadis kacukan Melayu dan Inggeris ini mengakui tidak mengejar anugerah.

“Sejujurnya saya tak letak sasaran kejar award. Saya hanya mahu pastikan dapat berikan kualiti lakonan terbaik dalam setiap projek itu.

“Soal menang aaward itu rezeki dan kalau pilihan, terserah pada netizen siapa mereka nak pilih sebagai pemenang.

“Cita-cita asal nak jadi penyanyi. Tapi tawaran berlakon datang dulu. Mulanya tak pasti nak buat atau tidak.

“Tapi ibu nasihatkan cubalah dulu mana tahu rezeki berganda dalam lakonan,” cerita Hannah kepada Mangga Media.

Terbukti rezeki Hannah berganda apabila pihak pengurusan syarikat rakaman Faithful Music milik Faizal Tahir mengeluarkan lagu single berjudul Tak Perlu Kata Apa-apa. Hannah turut mempunyai single lain sebelum ini, Esok Masih Ada.

Bercakap mengenai haters, Hannah ada pandangan tersendiri,”Ada dua jenis haters, iaitu yang mengkritik untuk buat kita perbaiki diri dan satu lagi mereka tiada benda baik nak cakap.

“Hanya tahu kecam… kalau tak suka, walau betul sekalipun artis itu, tetap buruk di mata mereka.

“Netizen sebegitu, saya abaikan sebab tiada faedah dalam hidup dan kerjaya. Jika saya rasa kritikan netizen itu mampu buat saya boleh memperbaiki kelemahan atau kekurangan, saya akan ambil peduli.

“Sudah tentu baca komen teruk sebagai manusia biasa, ada rasa geram dan marah. Rasa nak balas komen-komen negatif itu. Tapi saya fikir panjang, tak mahu perbesarkan. Biarkan sajalah,” ungkap Hannah.