Hafiz Suip Tak Kecil Hati Penyanyi Baharu Lebih Popular

Hafiz Suip kini banyak mengikuti kelas agama dan mengaji Al Quran.

DENGAN ramainya penyanyi baharu yang digelar BBBNU (Budak-budak Baru Nak Up) yang boleh dikatakan menguasai industri muzik tempatan ketika ini, langsung tidak menggugat bekas juara Akademi Fantasia 7, Hafiz Suip, 28.

Hampir sedekad berada dalam dunia seni, pelantun lagu hit Noktah Cinta, Awan Nano dan Bahagiamu Deritaku ini mengakui sudah merasai nikmat jatuh bangun.

Permulaan baik di tahun 2009 setelah merangkul kejuaraan AF7 sehinggalah beberapa anugerah pertandingan berprestij lain seperti Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik dan Anugerah Planet Muzik, sejak akhir-akhir ini nama Hafiz dikatakan agak tenggelam, macam sudah hilang populariti.

“Bagi saya itu lumrah kehidupan dalam industri muzik. Di awal kemunculan saya dulu pun mungkin sama perasaan penyanyi-penyanyi senior.

“Setiap zaman berubah dan akan ada pendatang baharu. Kita harus beri sokongan. Saya tak adalah rasa kecil hati dengan populariti budak-budak baharu.

“Saya pun boleh cakap di awal populariti saya dulu, mungkin sama apa yang saya rasa sekarang oleh penyanyi senior ketika itu.

“Apa yang boleh saya katakan, inilah lumrah duna seni. Kena terima hakikat dan teruskan perjuangan… jangan putus asa,” ujar Hafiz yang juga semakin berubah menjadi insan lebih baik dengan banyak mengikuti kelas agama.

Lagu single Hafiz sebelum ini berjudul Kejar pada 2015, kurang mendapat sambutan. Beliau bakal tampil dengan album baharu sebelum hujung tahun ini.

“Tentang populariti itu, semuanya saya pernah lalui. Bagi  saya, kenalah berusaha lebih tambahan pula saya tidak bernaung lagi di bawah pengurusan Astro.

“Saya berdikari dengan mengemudi syarikat sendiri sejak pertengahan tahun lalu,” kata bapa kepada zuriat lelaki bernama Muhammad Riyadh Zafri, enam bulan.

Hafiz bakal memikul tanggungjawab baharu sebagai Mentor dalam program realiti Mentor 7 bermula 5 Ogos ini.