
LEBIH 6.1 juta penonton telah di Jampi oleh Hael Husaini pada Anugerah Juara Lagu 32 (AJL 32) yang telah berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 11 Februari lalu.
AJL 32 telah berjaya mendominasi separuh penonton dengan 56.3% market share mengatasi pelbagai program menarik yang turut bersiaran pada masa dan waktu yang sama di stesen televisyen lain. (sumber: Nielsen)
Selain itu, AJL 32 turut trending nombor 1 di Malaysia dan di seluruh dunia! Mengikut statistik atas talian (online), #AJL32 telah digunakan sebanyak 3.5 juta di laman sosial (Facebook, Instagram & Twitter) sepanjang tiga jam AJL 32 bersiaran langsung.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak, “Kami amat berbangga dengan peningkatan jumlah tontonan pada tahun ini serta pujian yang diterima dengan reka bentuk pentas AJL 32 yang kelihatan gah.


“Pemilihan persembahan dan artis selingan bertepatan dengan tema Fesyen dan Muzik dan juga gandingan pengacara yang berjaya mengawal suasana dengan baik sekaligus memberi tanda aras baru yang memberi impak bagi penganjuran AJL, AJL 32 adalah di antara yang terbaik pernah dianjurkan.
“Tidak dapat dinafikan juga, barisan finalis pada tahun ini dengan gabungan penyanyi lama dan baru ini menjadi daya penarik terbesar yang menambahkan lagi peningkatan jumlah tontonan tidak hanya di kaca televisyan malahan melalui platform digital juga telah naik lebih 100% memberi tanggapan lagu-lagu mereka ini menepati citarasa masyarakat kini,” jelasnya.

Persembahan 12 finalis AJL 32 lalu telah diadili oleh 10 juri profesional yang diketuai oleh Azmeer, Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Wah Idris, Datuk Ramli Sarip, Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah), Helen Yap, Sharon Paul, Lokman Uzir (Lok U), Edrie Hashim dan Aizat Amdan.
Keserasian Alif Satar dan Sherry Al-Hadad telah berjaya meletakkan mereka di kelas tersendiri sebagai pengacara AJL 32.
Manakala Karpet Merah yang bersiaran di Pop TV, TV9 pada jam 8.30 malam telah diacarakan oleh Nana Mahazan dan Shuk Sahar.

Pentas AJL 32 turut diserikan lagi dengan persembahan penuh bertenaga oleh ratu tari Malaysia, Stacy bersama Waris diiringi petikan gitar oleh Edrie Hashim dan AG Coco dengan lagu Aku Stacy, Bosan dan Pakai Buang.
Manakala untuk persembahan penutup menggabungkan penyanyi era 60-an iaitu Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin bersama Datuk Awie dan Siti Sarah Raissuddin yang menyanyikan lagu-lagu popular genre Pop Yeh Yeh secara medley iaitu Tak Mengapa, Suzana dan Hidup Bersama, Syurga Idaman, Siapa Gerangan serta Kenanganku.
Selain pemenang-pemenang utama setiap kategori, barisan penyanyi lain tidak kurang hebat beri saingan sengit, Dayang Nurfaizah (Separuh Matiku Bercinta), Hazama (Aku Sebenarnya), Salma Asis (Akhirnya Cinta), Ara Johari ( Warkah Untukku), Wany Hasrita (Menahan Rindu) serta persembahan solo Syamel (Lebih Sempurna).


KEPUTUSAN PENUH AJL 32:
*Juara: Jampi – Hael Husaini
Komposer & Penulis Lirik: Hael Husaini/Ezra Kong
Hadiah: RM 50, 000 berserta trofi & baucar RM10,000
*Tempat Kedua: Sejati – Azmi Caliph Buskers (nyanyian asal Faizal Tahir)
Komposer & Penulis Lirik: Faizal Tahir & Mike Chan
Hadiah: RM 35, 000 berserta trofi & baucar RM2, 000
*Tempat Ketiga: Tergantung Sepi – Haqiem Rusli
Komposer & Penulis Lirik: Ibnu & Gouffran
Hadiah: RM 20, 000 berserta trofi & baucar RM2, 000
*Vokal Terbaik: Aku Cinta – Syamel & Ernie Zakri
Komposer & Penulis Lirik: Syamel
Hadiah: RM12, 000 berserta trofi & baucar RM2, 000
*Persembahan Terbaik : Amboi – Altimet
Komposer & Penulis Lirik: Navigator/Altimet
Hadiah: RM12, 000 berserta trofi, baucar RM 2, 000 & telefon pintar
*Anugerah Penyanyi Pilihan: Bayang – Khai Bahar
Komposer & Penulis Lirik: Alam (Harry Khalifah)/ Patrick Anohada
Hadiah: Trofi & telefon pintar