Gagal Mohon Ampun & Dosa Tidak Diampunkan, Penyesalan Paling Teruk Dalam Hidup

FILEM fantasi Along With The Gods pertama kali diterbitkan tahun lepas, sekaligus mencatat jumlah kutipan sebanyak 5 juta pada hari pertama tayangan.

Menjadi filem Korea Selatan paling laris, pengarahnya Kim Yong Hwa membina jalan cerita lebih menarik dalam sekuel berjudul Along With The Gods 2: The Last 49 Days (AWTG2).

Majlis pratonton spectacular movie fantasy ini untuk media tempatan telah berlangsung pada Isnin.

AWTG2 meneruskan pengembaraan malaikat pengawal nyawa yang diketuai Gang Lim (lakonan Ha Jung Woo) serta dua pembantunya, Hewonmak (Ju Ji Hoon) serta Deok Chun (Kim Hwang Gi).

Mereka meneruskan misi membawa roh yang telah dicabut nyawanya untuk diadili di alam baqa.

Kali ini, tidak sahaja tentang misi tersebut tetapi adalah mencari kebenaran rahsia di sebalik kematian tiga malaikat pencabut nyawa itu sekitar seribu tahun lalu.

Dengan memori yang dihapuskan oleh King Yeomra (Jun Jae), Gang Lim hakikatnya cuba mendapatkan keampunan daripada insan yang dibunuhnya seribu tahun lalu.

Ha Jung Woo sekali lagi mengagumkan khalayak menerusi karakter ketua malaikat pengawal bernama Gang Lim.

Semasa hayatnya Gang Lim merupakan anak kepada ketua tentera dinasti Goryeo iaitu Gang Mun Shik. Bapanya menyelamatkan dan mengambil anak angkat lelaki dari suku kaum Khitan.

Gang Lim cemburu dengan perhatian lebih diberikan bapa kepada adik angkatnya itu.

“Tidak berupaya meminta ampun dan dosa yang tidak diampunkan adalah penyesalan paling teruk dalam hidup,” luah Gang Lim.

Siapa pula insan yang dibunuh Gang Lim? Apakah beliau dapat memohon ampun dan diampunkan?

AWTG2 juga membongkar satu demi satu rahsia kematian Hewonmak dan Deok Chun yang semasa hayatnya menjadi gadis penjaga anak-anak yatim suku kaum Thurchen daripada dibunuh askar-askar Goryeo.

Rahsia terbongkar mengenai pertalian antara Hewommak dengan Gang Lim selain punca kematian Deok Chun di mana ibu bapanya juga mati dibunuh pahlawan Goryeo yang digelar Kucing Liar Putih.

Along With The Gods 2 dibarisi pelakon hebat Korea Selatan, dari kiri Ju Ji Hoon, Kim Dong Wook, Ha Jung Woo, Don Lee serta Kim Hwang Gi.

Gang Lim, Hewonmak dan Deok Chun hakikatnya memiliki rahsia pertalian seribu tahun lalu? Apakah rahsia itu? Siapakah pula pahlawan Kucing Liar Putih?

Hewonmak dan Deok Chun kembali ke alam manusia bagi mencabut nyawa seorang tua, Hur Choon Sam yang dikawal Dewa Rumahtangga bernama Sung Ju (lakonan Don Lee).

Seribu tahun lalu Sung Ju yang mengawal nyawa Hewonmak serta Deok Chun, menceritakan memori yang hilang dari ingatan mereka.

Manakala, Gang Lim dikatakan mempergunakan roh askar yang telah mati, Kim Sung Ho (lakonan Kim Dong Wook) dengan melalui tujuh lapisan neraka dalam usahanya mendapatkan pengampunan dari kesilapan lalu.

Tips buat khalayak, pastikan mata anda tidak langsung berkelip sewaktu menonton filem ini. Kerana banyak twist yang mungkin membuatkan anda keliru andai terlepas pandang walau satu saat!

AWTG2 bakal ditayangkan di seluruh pawagam tempatan bermula 30 Ogos ini.