FITRI pernah jadi pembaca berita TV

HARI ini penyanyi Fitri Haris (34 tahun) juga juara Gema Gegar Vaganza musim kedua memberitahu yang suatu masa dulu pernah memohon jawatan sebagai pembaca berita di televisyen RTM. Beliau memuatnaik gambarnya di skrin televisyen sedang membaca berita mengimbau kisah lima tahun lepas di akaun instagram miliknya .

Katanya, kisah lima tahun lepas, kalau tidak memilih bidang pendidikan mungkin beliau sudah menjadi pembaca berita televisyen. Tapi waktu itu Fitri memilih untuk menyambung pelajaran peringkat Ph.D di United Kingdom. Beritahunya lagi,apabila terkenang beberapa tahun yang lepas juga, sudah macam-macam perkara dibuatnya dalam industri termasuklah mengacara, berceramah, membaca berita, komposer, produser dan macam-macam lagi selain menyanyi.

Lagu baru Fitri Wahai Kekasihku dan Hanya Tuhan Yang Tahu (versi baru).
Dengan penampilan yang kacak dan kemas menyerikan skrin TV sebagai pembaca berita.

Walau apa pun penerimaan netizan dan peminatnya ketika itu, Fitri, tidak berhenti berkarya. Namun falsafah hidup Fitri walaupun ada yang kurang menerima atau menyenanginya, dia tetap bersyukur. Fitri gembira walaupun sebilangan golongan yang menerimanya menceburkan diri dalam industri hanya kaum keluarga dan anak-anak saudara sendiri. Apa pun yang dihadapinya, Fitri tetap mampu mengukir senyuman dan terus berdiri dengan semangat yang kuat.

Yang nyatanya, hari ini sudah lain. Nampaknya hari-hari Fitri sudah penuh dengan aktiviti kerjaya. Jadual kerjanya sudah diisi ke banyak tempat, baik dengan menyampaikan persembahan nyanyian atau lainnya.

Sebagai mengubati kerinduan peminatnya, Fitri muncul dengan lagu baru Wahai Kekasihku dan mengalunkan semula lagu Hanya Tuhan Yang Tahu yang pernah popular sewaktu Fitri bersama kumpulan nasyid UNIC sebelum ini. Hanya Tuhan Yang Tahu kali ini diberi nafas baru yang berlainan sedikit daripada versi yang terdahulu.

Fitri pernah berkahwin namun rumah tangganya berakhir dengan perceraian sekitar lapan tahun lepas. Hasil perkongsian hidup bersama isteri, beliau dikurniakan seorang anak perempuan yang cantik bernama Sofea Solehah Mohamad Fitri.