FIKRY IBRAHIM hos siaran langsung Bicarawara Hiburan “Hotspot”

PELAKON Fikry Ibrahim diamanahkan menjadi hos program baharu “Hotspot” terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) disiarkan menerusi TV Okey (Astro 109). Program bicarawara santai mengetengahkan isu semasa dunia hiburan tempatan dan antarabangsa di samping perkembangan terkini personaliti dan artis jemputan pada setiap minggu.

Bermula pada 7 Oktober lalu, program terbitan Unit Hiburan TV RTM bersiaran secara langsung dari Studio N1, Wisma Berita, Angkasapuri, Kuala Lumpur ini menemui penonton setiap Ahad, pukul 9.00 malam di TV Okey (Astro 109). Manakala siaran ulangannya pula dapat diikuti mulai 20 Oktober ini, setiap Sabtu, pukul 9.30 malam menerusi saluran TV2.

Fikry Ibrahim selaku hos ‘Hotspot’ mengupas banyak isu dalam industri hiburan tanah air.

Selaku hos, Fikry Ibrahim mengendalikan 13 episod program ini mengupas pelbagai topik berkenaan dunia seni dan hiburan yang menarik untuk dikongsikan dengan semua penonton.

Terdahulu menerusi episod pengenalan, program disiarkan setengah jam ini berkongsi dengan penonton tajuk “Lirik Rojak” yang mengundang tiga panel jemputan bidang penulisan lirik iaitu Ad Samad, Waris dan Ippo Hafiz.

Ia kemudiannya diselitkan dengan selingan temu bual berkongsi pendapat tentang perbezaan lirik dahulu dengan sekarang bersama artis Jatt (Black Dog Bone), Adeep Nahar, Daly Filsuf, dan Misha Omar.

Menariknya program santai ini turut berkongsi segmen bersama peminat selebriti undangan di studio. Malah dilengkapi dengan iringan muzik daripada Kumpulan Reuz Band, finalis Rentak Juara 2017.

Minggu ini, 14 Oktober 2018, nantikan topik pilihan yang bakal diketengahkan iaitu “Media Sosial Kurang Adab” bersama tiga panel undangan. Ingin mengetahui siapakah selebriti jemputan yang berkongsi kupasan topik hangat ini jangan lupa ikutinya menerusi TV Okey dan TV2.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.