FARID KAMIL Tak Lepaskan Anak Berlakon Jika Ganggu Kelas Agama

Farid Kamil dan Diana Danielle lebih utamakan pelajaran agama anak

PELAKON dan pengarah Farid Kamil, 36, tidak terlalu melepaskan dan mendedahkan anak lelaki sulungnya, Muhammad atau Chemad, 4, pada dunia seni biarpun sudah nampak tanda anaknya mampu berlakon dengan baik.

“Sejak kecil memang anak sudah dikenali ramai tetapi apa yang penting bukanlah saya dan isteri (Diana Danielle) nak membentuk dia jadi pelakon.

“Saya lebih tekankan soal pelajaran. Macam sekarang, sebelum Chemad masuk sekolah rendah, saya dedahkan dia pada kelas agama, mengetahui Muqaddam dan Al-Quran.

“Sejak tahun lepas lagi Chemad dah masuk kelas mengaji. Itu yang saya mahu terapkan dahulu sebelum bersetuju membawa dia serius melibatkan diri sebagai orang seni.

“Apa pun yang utama ialah kelas agama. Dia takkan boleh pergi penggambaran kalau tak pergi kelas mengaji.

“Lagipun saya tak mahu anak hilang momen-momen indah zaman kanak-kanak. Saya tak tolak jika ada tawaran bagus asalkan tidak ganggu kelas agama,” jelas Farid kepada Mangga Media ketika ditemui di sebuah hotel ibu kota pada Rabu, 31 Mei.

Farid Kamil terkejut melihat aksi bersahaja Chemad dalam iklan komersil

Pelakon filem JRevolusi dan Anak Halal itu ditemubual sejurus sidang media pengumuman beliau dan Chemad selaku duta kempen ‘Sucikan diri dan hati, Ramadan Ini’ bersama jenama sabun mandian Lifebuoy.

Selain Chemad, hasil perkahwinan dengan aktres Diana Danielle pada 2012, mereka juga dikurniakan seorang cahayamata perempuan, Nur Aurora, 1.

Farid turut meluahkan rasa lega dengan persembahan baik Chemad dalam iklan komersil sempena kempen tersebut.

Lakonan Chemad dalam iklan yang sudah disiarkan di kaca televisyen itu mendapat reaksi positif khalayak dengan gelagat bersahajanya.

“Saya ambil masa agak lama sebelum terima tawaran iklan ini yang mahu melibatkan konsep antara bapa dengan anak lelaki.

“Selepas berbincang dengan Diana, saya kata harus pastikan Chemad betul-betul boleh buat iklan itu. Sebab saya takut jadi tak sempurna dan takut pula jadi lambat siap atau menyusahkan pihak lain.

“Tapi syukur penggambaran lancar dan Chemad berjaya melakukannya dengan baik, hingga saya tertanya-tanya, mana budak ni belajar berlakon?

“Terus-terang, kali pertama bekerja dengan anak sendiri, buat saya nervous dan takut. Dari segi lain ia beri satu pengalaman dan pengetahuan baharu untuk saya lebih memahami karakter kanak-kanak,” ujar Farid.

Muhammad atau dipanggil Chemad semakin jadi perhatian peminat

Sudah banyak tawaran seni buat Chemad, namun sebagai bapa, Farid bersikap selektif.

“Dia selalu cakap nak jadi macam Baba (panggilan Chemad buat Farid)… Sejak kecil ada masanya saya bawa dia datang ke set penggambaran tetapi dia tak faham lagi maksud nak jadi macam Baba itu.

“Saya tengok dia suka babak-babak aksi dan suka tengok saya dalam filem JRevolusi. Dah nampak benda yang dia suka tetapi kita sebagai ibu bapa harus tahu bagaimana nak mencorakkan pemikiran dia.

“Saya tidak setuju dengan label pekerja kanak-kanak sebab bila kita lihat balik sejarah orang yang terlibat awal dalam industri seni memang susah nak kekal lama.

“Macam Chemad, sudah tentu saya akan lebih selektif dan utamakan pelajaran dia. Sekarang belum bersekolah bolehlah saya pilih iklan mana yang okey.

“Tetapi bila dah mula masuk sekolah nanti, saya tak lepaskan dia pada lakonan. Saya akan buat pemilihan terbaik sebab saya tak rasa Chemad nak jadi pelakon,” ungkapnya lagi.

Farid bakal muncul dalam dua filem baharu iaitu Pinjamkan Hatiku, arahan Osman Ali bergandingan Shaheizy Sam dan Ayda Jebat serta filem Tombiruo bersama Zul Ariffin dan Nabila Huda.

Farid juga membintangi sebuah telefilem untuk slot Hari Raya di TV3.

Farid Kamil sudah menghantar Chemad ke kelas mengaji sejak tahun lepas. FOTO: ZULFAIZ ZAKARIA