Farid Kamil Direman 4 Hari

Farid Kamil hadir di mahkamah bagi tujuan membantu siasatan kes mengasari anggota polis dan orang awam

PELAKON dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari, 36, dikenakan tahanan reman selama empat hari berhubung kes mengasari anggota polis dan dua ornag awam dalam laporan kejadian yang berlaku di Balai Polis Trafik, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis, 11 Januari.

Suami aktres Diana Danielle itu hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dengan berpakaian baju lokap polis berwarna ungu pada pagi Jumaat, 12 Januari. Beliau akan ditahan reman bermula hari ini sehingga Isnin depan.

Hadir sama ialah adik yang juga pengurusnya, Fadzil Zahari. Isteri Farid bagaimanapun tidak kelihatan.

Kes berlaku apabila Farid dikatakan hadir ke balai polis tersebut bagi membuat laporan kemalangan jalan raya.

Namun tiba-tiba beliau dikatakan telah menampar pipi dan menendang seorang orang awam serta menampar seorang anggota polis trafik.

Ujian saringan urin pula mendapati pelakon tersebut telah positif dadah jenis ganja.

Farid ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana perlakuan yang menyebabkan kecederaan.

Selain itu, Farid juga direman atas Seksyen 90 Akta Polis,  Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, berhubung kes sama, Farid dikatakan telah dijumpai seorang orang awam dalam keadaan tidak berbaju semasa hujan di sebuah jalan raya dekat Kota Damansara. Beliau juga dikatakan telah berkelakuan aneh.

Sudah tular gambar Farid Kamil tidak berbaju dalam hujan di sebuah jalan raya dekat Kota Damansara. Apakah yang sebenarnya berlaku terhadap Farid Kamil?