FARAH NABILAH Contohi ANGELINA JOLIE

Farah Nabilah mahu mencontohi bintang antarabangsa, Angelina Jolie dalam menjayakan misi kemanusiaan

Pelakon cantik Farah Nabilah atau nama sebenarnya Farah Nabilah Saipuddin, 27, kini dilantik sebagai duta Yayasan Bantuan Pembangunan Asia-Afrika (ADRF).

Farah Nabilah yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baharu Meletop Era 2018 dan Artis Baharu Wanita Popular 2018 ini tidak mahu mengejar populariti semata-mata, malah mahu memberi semula kepada masyarakat.

Menerima perlantikan sebagai duta ADRF, Farah mahu mencontohi bintang popular Hollywood, Angelina Jolie yang banyak menyertai misi kemanusiaan yang membantu manusia sejagat.

“Saya begitu teruja dengan perlantikan sebagai duta ADRF kerana inilah impian saya. Ia bersesuaian dengan matlamat saya yang tidak mahu mengejar populariti semata-mata.

“Saya mahu mengimbangi kerjaya seni dan projek kemanusiaan melalui ADRF. Saya ingin mencontohi bintang antarabangsa, Angelina Jolie yang sering menjayakan kerja-kerja kemasyarakatan. Dialah inspirasi saya.

“Sekarang adalah masa untuk saya memberi sumbangan kepada masyarakat terutama golongan memerlukan melalui ADRF yang ditubuhkan di Korea Selatan, sejak 22 tahun lalu.

“Menjadi artis yang menjalankan misi kemanusiaan adalah satu kelebihan kepada ADRF kerana populariti yang saya ada. Jadi, saya boleh memanfaatkan populariti untuk menyempurnakan hasrat murni ini.”

Luah Farah Nabilah yang pernah terlibat dalam salah satu projek ADRF tahun lepas iaitu kempen kembali ke sekolah yang diadakah di Kerinchi, Kuala Lumpur.

Melihat kanak-kanak yang teruja menerima keperluan sekolah membuatkan Farah tersenyum sendiri dan memberi semangat berkobar-kobar kepadanya untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Dalam program tersebut, ada yang memanggil saya dengan panggilan Cik Reen iaitu watak saya dalam siri drama Cik Reen Encik Ngok Ngek. Situasi ini menjadikan program ini lebih meriah.

“Dari situ saya sedar, pentingnya penglibatan artis dalam misi kemanusiaan kerana ia memberi nilai tambah kepada program yang dijalankan. Dalam masa yang sama, kesedaran tentang misi ini dapat diperluaskan dengan mudah.”

Jelas pelakon yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Upper Iowa, kampus Malaysia.