“Ex Boyfriend Penipu”- ELIZABETH TAN Tidak Lagi Murung

Elizabeth Tan tuju lagu Police Entry buat si penipu. FOTO: IZWAN ZAINAL

TAHUN lepas memang episod murung dilalui penyanyi Elizabeth Tan apabila putus cinta dengan lelaki Melayu yang sangat dicintainya.

Beberapa bulan jugalah pelantun lagu hit Knock Knock, Setia dan Tabah ini mengurung diri dalam bilik.

“Sekarang tidak lagi murung. Saya lebih bahagia dan kembali aktif menyanyi. Sebab itu nasihat saya kepada penyanyi lain atau sesiapa sahaja yang mengalami kemurungan, segeralah berjumpa doktor pakar.

“Saya sendiri menjalani rawatan psikologi dengan doktor pakar. Tapi tidaklah sampai kena makan ubat,” ujar jelitawan yang mesra disapa Lizzy.

Beliau ditemui Mangga Media di Saro Lounge, Pavilion Elite sempena pelancaran lagu single terbaharu berjudul Police Entry.

Antara lirik dalam lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu menyebut perkataan penipu… Elizabeth terang-terangan mengakui perkataan penipu itu ditujukan kepada bekas teman lelakinya.

“Memang dia lelaki penipu… dia banyak tipu saya. Memang lagu ini untuk dia. Saya tak kisah kalau dia terasa hati dengar lagu ini.

“Saya juga tidak lagi menyimpan dendam. Saya dah lama move on,” ungkap pelakon filem Misteri Dahlia bersama Zul Ariffin serta drama bersiri, My Darling Inspektor Daniel.