Erra Fazira Nafi Dirisik Shahir

MEMANG tiada salahnya pengakuan primadona Erra Fazira bahawa hubungan dengan penyanyi Shahir Zawawi sekadar kawan baik sahaja.

Namun, biasalah dunia artis ini kalau pasangan lelaki dan perempuan dilihat rapat, memang tiada istilah ‘kawan’ yang diyakini netizen selain daripada istilah bercinta!

Apatah lagi apabila Erra mengaku Shahir dan keluarga ada datang beraya di rumahnya, baru-baru ini, timbul pula andaian kononnya ada sekali rombongan merisik. Betul kah?

“Ya, Shahir ada datang beraya ke rumah saya pada hari raya pertama tetapi saya tegaskan, itu cuma kunjungan beraya semata-mata. Bukan majlis merisik, bertunang atau seangkatan dengannya,” jelas Erra seperti petikan di Utusan Online.

Pelantun lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu sekali lagi menegaskan tiada hubungan istimewa dengan penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan, malahan turut kenal baik dengan keluarganya.

“Dia dan keluarga datang beraya sahaja, saya pun kenal baik dengan keluarganya,” kata ibu kepada Engku Aleesya Engku Emran ini.