Elak Kena Hentam, ALIF SATAR Belajar Masak Dengan Gordon Ramsay

Alif Satar bangga bergandingan dengan Tiz Zaqyah dan Siti Saleha dalam filem televisyen Memori Pajeri Nanas

BAGI merealisasikan karakter Chef Armand seorang tukang masak hebat, Alif Satar, 27, tidak mahu ambil mudah. Sebulan sebelum masuk lokasi penggambaran Memori Pajeri Nanas, beliau menonton rancangan masakan chef terkenal luar negara, Gordon Ramsay (British Celebrity Chef).

Bahkan, sewaktu berada di lokasi, beliau dibantu dua chef dari sebuah restoran terkenal bagi memastikan karakter tukang masak itu tidak janggal.

“Kadang-kadang memasak di rumah, nak hiris bawang tak betul tak apa sebab tiada yang tengok. Tetapi dalam karakter ini sebagai chef pakar memasak, tentulah kena buat dengan teliti.

“Saya tak mahulah nanti kalau ada chef-chef sebenar di luar sana tengok filem ini akan komen andai tak betul cara saya pegang pisau atau salah cara hiris bawang.

“Tentulah kalau silap, kena hentam, akan memalukan saya juga nanti. Selain dua orang chef yang sentiasa ada di lokasi membantu, saya turut menonton rancangan masakan Gordon Ramsay.

“Bahkan saya cari di Youtube kelas memasak Gordon Ramsay itu tentang cara-cara menghiris bawang dengan betul.

“Sambil menonton rancangan masakan, saya juga buat senaman tangan, di samping  buat rawatan kuku, agar tangan dan jari nampak cantik untuk babak memasak,” terang Alif kepada Mangga Media. Alif juga mempunyai sebuah kafe di Kota Kinabalu, Sabah.

Alif juga mengusahakan kafe di Kota Kinabalu, Sabah

Tidak setakat itu, Alif sanggup membeli banyak telur mentah untuk berlatih cara memecahkan telur hanya menggunakan sebelah tangan.

“Pastikan kalian menonton filem ini kerana semua hidangan dalam setiap babak, saya sendiri yang memasaknya dengan bantuan dua chef tersebut.

“Dan semua masakan itu, Tiz sendiri juga yang makan. Saya berlakon dan di waktu sama saya belajar memasak di lokasi.

“Ini pengalaman berharga bagi karier lakonan saya,” ujar Alif lagi yang begitu komited untuk filem televisyen (FTV) Memori Pajeri Nanas, arahan Aidilfitri MY.

FTV yang turut menggandingkannya dengan Tiz Zaqyah Razak dan Siti Saleha itu bakal ditayangkan di Astro First Eksklusif saluran 480 dengan harga tawaran RM15.90 bermula 20 Julai ini.

Drama popular yang melonjakkan namanya, Dia Semanis Honey dan Hikayat Cinta Si Pematah Hati. Manakala filem, Aku Masih Dara (2010) serta Aliff Dalam 7 Dimensi (2016).

Antara lagu popular, Cukup Indah, Jangan Nakal, Lelaki Seperti Aku dan Selamanya Cinta.  Alif mengahwini Sha Dila Halid pada 2014 dan dikurniakan dua cahayamata perempuan, Alisha Anugerah, 2 serta Ariana Mecca, lima bulan.

Di usia 27 tahun Alif sudah memiliki dua cahayamata perempuan