DUKUN ‘Merana Jiwa’… Akhirnya Kita Bertemu!

Karakter Diana Dahlan, dukun pengamal ilmu hitam merangkap penyanyi kelab malam disempurna baik oleh Datin Seri Umie Aida.

KERANA Dukun itu adalah buah tangan sulung Dain Iskandar Said dan hanya selepas 12 tahun baharulah menghantui khalayak di seluruh pawagam tempatan bermula Khamis, 5 April.

Bukan mahu bias tetapi menghargai hasil kerja pengarah genius ini menyamai admire penulis terhadap filem-filem yang menerima sentuhan pengarah tersohor dunia, Quentin Tarantino (sebagai contoh filem Kill Bill dan Natural Born Killers).

Saat pertama Dukun membuka layar dengan pemandangan indah perkampungan kaum Batak di Indonesia, hati sudah berbunga mengatakan penantian 12 tahun bakal berbaloi. Tidak sahaja bahasa dialog keluar dari mulut setiap pemegang watak juga bahasa tubuh, pujian tinggi diberikan terhadap sinematografi.

Barangkali mungkin terlalu awal mengatakan ini… filem yang sangat luar biasa. Tetapi hakikatnya, inilah filem yang dinantikan rakyat Malaysia sejak 2007.

Bahasa dialog, lirikan mata, cara berjalan, senyuman dan bahasa tubuh karakter dukun pengamal ilmu hitam Diana Dahlan dilakonkan tanpa cacat cela oleh aktres hebat, Datin Seri Umie Aida Rahmad.

Bahkan, gaya menggoda dan mengiurkan sewaktu menyampaikan lagu Merana Jiwa, roh Diana Dahlan diserap baik oleh Umie Aida.

Memang terbaik dan merinding! Pastinya confirm, award Pelakon Wanita Terbaik berada dalam genggamannya.

Pengarah Dain Said (tengah) bersama barisan pelakon utama Dukun semasa sesi pratonton bersama petugas media di TGV KLCC pada Rabu, 4 April.

Dain bijak mengeksploitasi setiap pelakon yang tampil hebat meski ada beberapa pelakon undangan tampil dalam hanya satu babak.

Dukun kini ‘menghantui’ 90 pawagam di seluruh Malaysia dan Singapura mulai 5 April.  Dibintangi nama-nama hebat lain antaranya, Faizal Hussein, Namron, Hasnul Rahmat, Elyana, Sofi Jikan, Allahyarham Ramli Hassan, Bront Palarae, Chew Kin Wah dan Jason Chong.

Astro Shaw sekali lagi membawakan sebuah naskhah hebat lagi bermutu tinggi istimewa untuk sajian peminat filem tempatan khususnya.

 

 

Saat mahu ke tali gantung pun Diana Dahlan mahu tampil cantik bergincu merah!

Sarat dengan pelbagai mesej yang dilihat relevan dengan setiap lapisan masyarakat. Dukun memaparkan kisah ketaksuban manusia yang begitu mendambakan kemewahan dan kecantikan.

Kerakusan dalam mendapatkan kuasa dan kedudukan yang tinggi serta menginginkan keremajaan abadi menerusi amalan syirik serta khurafat.

Kerana ketabsuban dunia, ada di antara kita yang memilih jalan mudah dengan membelakangi agama, sehingga pada satu tahap, berlakunya pertumpahan darah.

Menonton Dukun adalah relevan sepanjang zaman untuk ditayangkan dan kita boleh mengambil iktibar daripadanya.

Dukun banyak bermain dengan isu sejauh mana masyarakat kita mempercayai perkara-perkara khurafat dan syirik yang bertentangan dengan kemajuan serta pembangunan negara jugakepesatan dakwah Islamisasi.

Dukun adalah satu cerita yang dapat membuka mata di samping memberi kesedaran terhadap kecelaruan dalam hidup jika amalan khurafat dan syirik diamalkan.

Faizal Hussein sebagai Karim Osman, peguambela Diana Dahlan.

SINOPSIS:

DUKUN mengisahkan tentang Karim (Faizal Hussein), seorang peguam yang sedang bergelut dengan kerjayanya akibat kemurungan dan gangguan emosi berikutan kehilangan orang yang tersayang iaitu isterinya, Sara (Avaa Vanja) dan anak perempuan, Nadia (Elyana).

Dalam masa yang sama, Karim telah ditawarkan peluang untuk menjadi peguam kepada seorang OKT (Orang Kena Tuduh) bernama Diana Dahlan (Datin Seri Umie Aida), yang berjanji akan mencari anaknya.

Diana yang merupakan seorang penyanyi kelab malam, telah dihadapkan ke mahkamah kerana disyaki terlibat dalam satu kes pembunuhan. Pihak polis telah terjumpa mayat di rumahnya yang disyaki dari aktiviti ilmu hitam yang diamalkan untuk kekal cantik dan berkuasa.

Diana dikatakan seorang dukun yang mempunyai tongkat sakti dari suku kaum Batak. Melalui proses perbicaraan dan penyiasatan yang dilakukan oleh ASP Talib (Namron); sisi ilmu hitam Diana terungkai satu demi satu.

DUKUN merupakan sebuah kisah perihal ketaksuban manusia terhadap kekayaan, kuasa, kecantikan, keremajaan abadi dan ada darah yang tumpah dalam mengejar kesemuanya.

 

Apa hubungan Danni (lakonan Hasnul Rahmat) dengan Diana Dahlan (Umie Aida)? Bagaimana Danni tahu apa yang diminta Diana daripada Karim? Mistik wujud dalam Dukun.
Namron memegang watak ASP Talib dan Bront Paralae, Inspektor Shah.

 

Barisan Pelakon:

Datin Seri Umie Aida                       : Diana Dahlan

Faizal Hussein                                    : Karim Osman

Nam Ron                                             : ASP Talib

Hasnul Rahmat                                  : Danni

Elyana                                                   : Nadia

Adlin Aman Ramlie                          : Datuk Jeffri Jailani

Sofi Jikan                                             : Fadzli

Ramli Hassan                                      : Daud

Bront Palarae                                     : Inspektor Shah

Chew Kin Wah                                   : Pegawai Pendakwaraya Dato’ Angus Lim

Avaa Vanja                                         : Sara

Mislina Mustafa                                                : Halimah

Abu Bakar Juah                                                 : Hakim

Joey Daud                                           : Jamal

Ganesan Sundaram Moorthy     : Ravi

Adman Salleh                                    : Prof. Azmi

Jason Cheong                                    : Chan

Kumaresan : Murali

Kazar                                                     : Tukang Gantung

Mohd. Amal Fatih                            : Pelatih Tukang Gantung

Kasmadiana                                        : Puan Aishah

Norrihan Yaakub                              : Ketua Warden

Nadia Nissa                                         : Anak sulung Halimah

Goh You Ping                                     : Ong – Peniaga Emas

Zanoora                                               : Warden Penjara

Azizah Sulaiman                                : Warden Penjara

Dianatasha                                          : Warden Penjara

Rahim Omar                                       : Jeneral

Balkisyh                                                : Perempuan Batak

Ibrahim Akir                                       : Imam

Alia Soraya                                          : Perempuan di Bangunan Tinggal

Tengku Azura                                    : Pembawa Tongkat Batak