DO[S]A Kolaborasi Hebat 3 Negara

Barisan pelakon utama DO[S]A , mini siri gabungan hebat tiga negara semasa majlis pra pelancaran di Jakarta

JAKARTA – “Dalam setiap Dosa ada Doa yang dituju dan dalam setiap Doa itu ada Dosa yang menunggu.”

Kata-kata keramat itu cukup menggambarkan tentang perjalanan sebuah ‘Dosa’ dalam setiap ‘Doa’ yang sarat dengan babak-babak mendebarkan, aksi suspen dan ganas.

Namun begitu, pada masa sama turut diapit dengan pergolakan emosi, ikatan kekeluargaan dan bibit percintaan di dalam mini siri berjudul DO[S]A.

Dosa merupakan projek nusantara kolaborasi Malaysia dan Indonesia melalui peneraju kumpulan kandungan dan konsumer Malaysia, Astro.

Dosa sebuah mini siri nusantara premium eksklusif bakal ditawarkan di platform digital on demand seiring dengan tayangan di televisyen menerus saluran Astro Citra (131) pada hujung tahun ini.

Dosa telah memulakan penggambaran sejak Julai lalu di Jakarta dan Kuala Lumpur dan dijangka selesai 50 hari tempoh penggambaran pada September depan.

Sebanyak 90 peratus penggambaran dijalankan di Jakarta, melibatkan kawasan sekitar Jakarta Barat dan Jakarta Timur. Selebihnya di lokasi utama Kuala Lumpur seperti Kampung Baru, Putrajaya dan Klang.

Dosa merupakan karya asal Ketua Unit Drama Premium & Filem Astro, Saniboey Mohd Ismail dan Salman Aristo, yang turut bertindak sebagai penulis skrip.

Salman Aristo, satu nama yang cukup disegani di Indonesia yang sebelum ini melahirkan karya-karya pecah panggung seperti Ayat-ayat Cinta, Laskar Pelangi, Garuda Di Dadaku dan Sang Penari.

Pencapaian terkini Salman adalah di Festival Filem Indonesia 2016 sebagai pemenang Penulis Lakon Layar Terbaik untuk filem Athirah.

Remy Ishak, Ashraf Sinclair dan Hisyam Hamid sebagai adik-beradik yang menyelongkar misteri keluarga di dalam DO[S]A
Dosa mendapat sentuhan sutradara terbaik Indonesia, Ifa Isfansyah yang mulai menempa nama menerusi pengarahan filem-filem hebat antaranya Sang Penari, Garuda Di Dadaku dan Pendekar Tongkat Emas.

Pengarah Fotografi pula Yandi Sugandi yang telah melahirkan visual memukau di dalam Ada Apa Dengan Cinta 2, Laskar Pelangi, Sang Penari, Darah Garuda dan banyak lagi.

Dosa turut menampilkan Cecep Arif Rahman sebagai pengarah koreografi seni mempertahankan diri. Cecep sebelum ini dikenali menerusi filem Indonesia, The Raid: Berandal.  

Dosa dibarisi pelakon hebat gabungan tiga negara iaitu Malaysia oleh Datuk M. Nasir, Remy Ishak dan Daniella Sya.

Sementara Indonesia pula, Ashraf Sinclair, Reuben Elishama, Maudy Koesnadi, Hannah Al Rashid, Tegar Satrya serta bintang legenda terkenal, Roy Marten dan Singapura pula, Shenty Feliziana serta Hisyam Hamid.

Salah satu babak melibatkan Shenty Feliziana (kiri), Ashraf Sinclair dan Hisyam Hamid

Beberapa babak menarik di dalam mini siri 8 episod, DO[S]A arahan sutradara terkenal Indonesia, Ifa Isfansyah, terbitan Astro
Dosa mengisahkan tempat empat beradik dibesarkan bapa tunggal, Latif (lakonan Datuk M. Nasir) dengan nilai-nilai kesederhanaan, pegangan agama yang kuat dan disiplin persilatan.

Fuad (Ashraf Sinclair), Farid (Remy ishak), Fahad (Hisyam Hamid) dan Fara (Shenty Feliziana) hidup bersama bapa mereka di pelusuk sunyi Kampung Baru.

Di situ mereka menjalani kehidupan hampir tersembunyi daripada masyarakat, berlatih ilmu persilatan hari demi hari. Seolah-olah bersiap-siaga untuk menghadapi sesuatu.

Dari kiri, Ifa Isfansyah selaku pengarah Dosa, Rino Sarjono dan Salman Aristo (penulis skrip serta Cecep Arif Rahman (koreografer silat)

MANGGA MEDIA menyaksikan majlis pra pelancaran DO[S]A di Jakarta, Indonesia pada 11 dan 12 Ogos, baru-baru ini bersama beberapa wakil media Malaysia lain yang dibawa khas oleh pihak Astro.

Pihak media turut dibawa ke salah sebuah lokasi penggambaran iaitu babak di sebuah gudang penculikan kanak-kanak yang diadakan di Perusahaan Filem Nasional (PFN), Jakarta Timur.

Barisan pelakon dan krew produksi DO[S]A bersama pengarah Ifa Isfansyah (duduk di kerusi dua dari kiri) dan di sebelah kanannya, Penerbit Arie Zaharie di salah sebuah lokasi penggambaran di Jakarta Timur 

TRIVIA DO[SA] :

-100 krew setiap hari di lokasi

-1,000 pelakon tambahan

-55 hari tempoh penggambaran dengan 5 hari lokasi di Kuala Lumpur dan 50 hari lokasi Jakarta

-770 jam waktu penggambaran

-418 babak yang melibatkan 90 buah lokasi

– 2 tahun tempoh proses perancangan dan pembikinan

– 3 minggu latihan lakonan di Kuala Lumpur dan Jakarta

-20 orang jurulatih seni silat mempertahankan diri

-8 bulan untuk proses di bahagian kreatif