“Doakan Baby Shima Segera Sembuh”

SELEPAS pengsan di pentas Big Stage sejurus selesai tugasan menyampaikan lagu Ku Takkan Bersuara dalam konsert minggu kedua, Baby Shima dinasihatkan doktor agar banyak berehat.

Penyanyi berusia 25 tahun dari Johor Bahru yang kini menetap di Jakarta, menggemparkan penonton apabila tiba-tiba jatuh pengsan selepas baris akhir lagu tersebut.

Ramai menyangka itu adalah gimik program namun hakikatnya Shima yang diusung keluar pentas oleh kru produksi, dilaporkan keletihan.

“Buat masa ini, Shima sudah stabil selepas rawatan malam tadi. Dia masih tidur. Doktor suruh banyak berehat.

“Dia terlalu penat kerana kesibukan jadual kerja yang padat. Dia dinasihatkan banyak berehat dan jangan biarkan perut kosong.

“Doakanlah Shima agar segera sembuh,” ujar pengurusnya, Andy kepada Mangga Media sambil mengirim foto Shima dipasangkan alat bantuan pernafasan.

Penyanyi yang menimbulkan kontroversi diherdik Mas Idayu selaku juri tetap program D’Academy Asia itu harus berulang-alik antara Jakarta – Kuala Lumpur demi tuntutan tugas.

Shima sudah setahun menetap di negara jiran tersebut setelah mengikat kontrak tiga tahun di bawah pengurusan syarikat rakaman terkenal, Nagaswara.

Setelah lapan tahun berjuang dalam bidang seni, sejak tahun lepas baharulah nama beliau jadi sebutan. Shima juga mengakui lebih dihargai peminat Indonesia berbanding negara sendiri.

Penyertaan dalam Big Stage dianggap sebagai platform untuk lebih dikenali di samping diterima baik peminat negara sendiri.

*Video persembahan Baby Shima untuk lagu Ku Takkan Bersuara sehingga beliau jatuh pengsan boleh dilihat di Facebook Mangga Media.