Doktor Kekasih Baharu Ayu Ting Ting?

JIKA benarlah gosip hangat diperkatakan kononnya penyanyi dangdut top Indonesia, Ayu Ting Ting yang juga janda anak satu itu sedang berkasih dengan seorang doktor, maka sudah tentulah lenyap gosip panas mengaitkannya dengan suami orang, Raffi Ahmad.

Sejak lebih dua tahun lepas, setelah dijatuhkan talak oleh Enji, ibu kepada anak perempuan berusia tiga tahun ini bertubi-tubi dikaitkan cuba merampas penyanyi, pelakon, pengacara televisyen dan penerbit filem itu daripada Nagita Slavina (Gigi).

Baru-baru ini timbul gosip mengaitkan pelantun lagu dangdut Sambalado dan Alamat Palsu itu dengan seorang doktor yang dikenali sebagai Ervan.

Malah, doktor tersebut pernah memuatnaik petikan kapsyen di akaun peribadinya berbunyi,”Thanks for sunnight dinner @ayutingting92.”

Ketika ditebak wartawan mengenai gosip tersebar, seperti biasa, Ayu lari-lari daripada cuba memberi jawapan pasti.

“Waduh, gosip apa lagi?” katanya ketika ditemui wartawan di Jakarta Selatan.

Tidak mahu mengulas panjang, Ayu mengakui kenal doktor yang dikatakannya sebagai teman rapat.

“Kalau Ervan itu ya memang benar kenal dan dia kawan saya. Kadang-kadang bertemu, kami berbual-bual, itu saja,” jawabnya.