‘Diserang’ Netizen Melampau, Sabar BABY SHIMA Ada Batas

Baby Shima akui tahap kesabaran ada batasnya

Selepas kontroversi Baby Shima difitnah apabila dikaitkan dengan pelacuran online, kini penyanyi popular ini ‘diserang’ pula dengan seorang netizen yang mengganggu hidupnya.

Tidak ada angin, tidak ada ribut, entah kenapa seorang netizen ini terlalu melampau mengecam Baby Shima dengan kata-kata kurang ajar dan mendoakan cepat mati.

Netizen itu juga menunjukkan isyarat lucah apabila Shima menerangkan akan membuat laporan kepada pihak berwajib sekiranya dia terus mengganggu.

Setelah dibantu oleh pihak berwajib, mereka dapat mengesan siapa netizen tersebut dan DIDAKWA kononnya berasal dari Sabah.

Cerita Baby Shima kepada MANGGA, “sejujurnya dia sering menghantar kata-kata lucah dan kurang ajar kepada saya. Pada mulanya saya memang bersabar.

“Artis juga seperti manusia lain yang ada batas kesabarannya. Jangan ingat artis berdiam diri itu  tanda memberi ‘lampu hijau’ untuk netizen terus mengecam. Tidak semudah itu.

“Dalam masa yang sama, jangan fikir artis tidak mampu bertindak untuk mengesan netizen mana yang melampaui batas dan menguji kesabaran. Kalau dah melampau, sampai ke ‘lubang cacing’ pun saya akan cari.

“Kalau perlu dan bergantung kepada keadaan, saya mahu mengambil timdakan undang-undang.”

Luah Baby Shima yang membongkar siapa netizen yang menyerangnya secara melampau di ruangan mesej di Instagram. Setelah disiasat, netizen yang didakwa itu  kononnya adalah seorang gadis yang masih bersekolah menengah di Sabah.

Di bawah ini adalah luahan Baby Shima di instagramnya @babyshimaofficial

Antara perbualan Baby Shima dengan gadis tersebut di Instagram

Harap Jadi Pengajaran

Baby Shima yang popular dengan lagu Main Mata dan Sirna ini telah memuatnaik perbualan mereka yang berlaku  semenjak minggu lepas dan gambar-gambar gadis tersebut.

“Saya pun ada screenshot perbualan antara kami.  Setelah dia kata macam-macam dan mengganggu emosi saya, tiba-tiba dia cakap akaun Instagramnya digodam atau kena hack dengan orang lain.

“Itu pun selepas saya cakap mahu ambil tindakan undang-undang. Sebelum itu, saya sudah memberi sedikit info tentang tindakan yang boleh diambil terhadap pembuli siber sepertinya, namun dia tetap berdegil dan terus ‘menyerang’ saya dengan kata-kata biadap dan melampau.

“Saya tahu, ada artis-artis lain lebih teruk dibuli di alam  siber. Dalam masa yang sama, saya dapat tahu netizen yang sama juga mengecam artis-artis lain.

“Saya bertindak menyiarkan perbualan serta gambar tersebut kerana mahu memberi pengajaran kepada semua netizen yang tidak habis-habis mahu mengecam artis. Mereka ingat artis ni boleh dikecam sesuka hati?

“Saya bukanlah nak menghukum sangat gadis yang didakwa mengganggu saya itu, niat saya lebih kepada mahu memberi pengajaran kepadanya mahu pun netizen lain.

“Kalau dibiarkan, mereka akan terus berbuat demikian tanpa rasa ada tanggungjawab sosial. Bukan itu sahaja, tiada langsung rasa nak minta maaf.

“Saya sedar segala yang berlaku di laman sosial sukar dikawal, namun tindakan saya ini diharap sedikit sebanyak menyedarkan kita semua agar berhemah dalam menggunakan laman sosial. Gunakanlah untuk kebaikan. Itu kan lebih bagus.”

Begitulah cerita Baby Shima yang  berharap netizen lebih bijak dan mempunyai tanggungjawab dalam menggunakan laman sosial.

MANGGA dan artis – artis lain pun setuju dengan tindakan Baby Shima ini. Netizen ni, kalau tidak ditegur sekarang, bila lagi?

Di bawah ini adalah video tentang fitnah terhadap Baby Shima