Demi Tubuh Berotot, Randy Pangalila 7 Tahun Tak Sentuh Nasi

CEMBURU bukan melihat tubuh sasa yang menarik Randy Pangalila ini? Tetapi, sanggupkah anda untuk menahan nafsu mengenepikan nasi dengan lauk-pauk sedap demi mendapatkan tubuh berotot sebegini?

Inilah yang dilakukan Randy sejak tujuh tahun lalu apabila beliau langsung tidak menyentuh nasi mahupun mi segera.

“Ramai bertanya apakah saya diet? Saya jawab, tidak! Ini bukan diet tetapi adalah gaya hidup.

“Kerana kalau dikatakan diet, selalunya kita akan rasa tertekan lantaran tidak menyentuh apa pun makanan.

“Saya memang tak makan nasi. Tetapi saya gantikan dengan mengambil karbohidrat lain seperti roti gandum, bijirin serta kentang rebus.

“Kalau teringin sangat nak makan nasi, saya akan pilih beras perang sahaja.

“Malahan saya langsung tidak membeli makanan di luar. Hanya yang dimasak oleh ibu saja yang saya selalu bawa bekal setiap kali ada urusan kerja di luar.

“Dalam setiap penyediaan makanan, saya kurangkan garam dan gula. Saya juga langsung tidak menyentuh minuman manis,” ungkap Randy ketika ditanya wartawan mengenai rahsia tubuh sasa dan menariknya itu.

Namun, satu hal yang selalu  menggoda Randy ialah setiap kali terpandang nasi goreng.

“Nasi goreng makanan kegemaran saya. Kalau ada kawan makan di depan saya, cepat-cepat saya alihkan pandangan agar tidak terpengaruh makan sama,” seloroh Randy.