Demi Anak-anak, Fasha Sandha Berdamai Dengan Bekas Suami, Bukan Rujuk

“Alhamdulillah, Tuhan telah memberikan petunjuk serta hidayahNYA kepada saya dan Rizal, jalan-jalan kebaikan di antara kami dengan kami mencapai penyelesaian demi untuk masa depan anak-anak dan saya bersyukur dengan anugerah ini.”

Begitu petikan tulisan dimuat naik aktres Nur Fasha Sandha Hassan, 33, yang dimuat di akaun Instagram miliknya. Status tersebut mendapat ribuan tanda suka (likes) selain komen positif serta kata-kata semangat.

Kenyataan tersebut berdasarkan Fasha dan bekas suami, Rizal Ashram Ramli telah mencapai kata sepakat untuk berdamai dengan menyelesaikan dua kes di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur pada Khamis.

Pelakon drama Lara Aishah itu telah menarik balik perintah injuksi menghalang Rizal Ashram menganggunya yang difailkan pada Mac lalu.

Begitu juga Rizal telah menarik balik kes komital berkaitan lantikan pemegang amanah sebuah kediaman di Ampang, Selangor.

Peguam syarie Zulkifli Che Yong mewakili Fasha sementara Rizal diwakili peguam Ahmad Badri Idris.

Fasha dan Rizal bercerai Januari tahun lepas setelah empat tahun mendirikan rumah tangga dengan dikurniakan sepasang cahayamata, Putra Rayfal Ramli, 4 dan Putri Raysha Jemyma, 2.

Fasha kemudiannya memuat naik satu lagi tulisan iaitu,” Saya mendapat beribu komen positif melalui semua lama sosial media hari ini berkenaan saya dan Rizal. Ingin saya nyatakan di sini, saya dan Rizal tidak RUJUK. Kami berdamai dan mendapat penyelesaian secara baik terhadap semua kes termasuk hak penjagaan sepenuhnya buat kedua-dua anak.

“Saya harap perkara ini jelas. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih di atas doa yang baik-baik buat saya dan anak-anak.”

Fasha memuat naik status tersebut memandangkan ramai salah anggap kononnya beliau kembali rujuk dengan bekas suami.