Deepika Padukone Artis Terkaya Bollywood Gara-gara Padmavat?

Deepika Padukone sebagai permaisuri Padmavat, filem yang mencetuskan kontroversi sehingga ada pihak mahu memenggal kepalanya

WALAUPUN filem terbaharunya, Padmavat diharamkan tayangannya oleh beberapa negara termasuk Malaysia, heroin Padmavat, Deepika Padukone, 32, meraih gelaran pelakon Bollywood paling kaya dengan bayaran termahal saat ini!

Judul asalnya ialah Padmavati tetapi pengarah, Sanjay Leela Bhansali menukar kepada judul sekarang atas saranan Lembaga Penapisan CBFC (Central Board of Film Certification) gara-gara mencetuskan kontroversi agama.

Kontroversi membangkitkan kemarahan sebilangan besar penduduk India sehingga Deepika dan Bhansali menerima ugutan bakal dipenggal kepala!

Filem yang turut diisi Shahid Kapoor sebagai Maharaja Rawal Ratan Singh dan karakter pemerintah Islam yang disifatkan kejam, Sultan Alauddin Khilji diperankan oleh Ranveer Singh.

Padmavat yang ditayangkan di India hujung Januari lalu mencapai kutipan tiket hampir RM200 juta hanya dalam tempoh dua minggu tayangan.

Sehingga kini jumlah kutipan terus meningkat sekaligus mengenepikan rekod dipegang filem Bajirao Mastani, juga lakonan Deepika bersama Ranveer Singh dan Priyanka Chopra, tahun lalu.

Banyak filem Deepika meraih box office antaranya, Bajirao Mastani dan Chennai Express

Deepika juga mencipta box office melalui filem lakonannya bersama Shahrukh Khan, Chennai Express pada 2013.

Tidak hairanlah pencapaian itu membolehkan Deepika mendapat durian runtuh sebagai pelakon wanita termahal 2018.

Gelaran itu sekaligus meletakkan sahabat baiknya Priyanka Chopra di tangga kedua. Deepika dikhabarkan memperoleh bayaran tinggi dengan setiap penampilan sebuah filem diberi lebih RM10 juta.

Itu hanya anggaran pendapatan di dalam sebuah filem belum lagi dicampur dengan bayaran yang diterima sebagai duta produk serta model iklan komersil. Hah, boleh kira sendirilah berapa juta lagi tambahan pendapatannya!

Satu lagi, keuntungan filem Padmavat nanti turut akan dikongsi bersama para pelakon. Sudah tentulah sebagai heroin utama, Deepika menerima bayaran bonus tertinggi!

Padmavat diharam tayangannya di Malaysia tetapi peminat boleh ke Singapura menontonnya

Deepika Padukone mula dikenali sebagai pelakon Bollywood menerusi filem Om Shanti Om pada 2007 bergandingan dengan Shahrukh Khan.

Untuk filem itu beliau memenangi Anugerah Filmfare bagi kategori Kemunculan Sulung Wanita Terbaik.

Beliau juga pernah membintangi filem antarabangsa, XXX: Xander Cage bersama hero Fast & Furious, Vin Diesel, dua tahun lepas.

Wanita berbintang Capricorn ini lahir di Copenhagen pada 5 Januari 1986, dibesarkan di Bangalore dan merupakan anak kepada pemain badminton, Prakash Padukone.

Sudah membintangi puluhan filem popular, antaranya yang lain, Housefull (2010), Cocktail (2012), Race 2 (2013) serta Happy New Year (2014).