“Dayang Pun Tension!”

Dayang Nurfaizah mempertaruhkan lagu Separuh Matiku Bercinta, ciptaan komposer Ajai di AJL32, Februari ini. FOTO: NOOREEZA HASHIM

 

DAYANG NURFAIZAH, 36, sangat menghargai apa jua permintaan para peminatnya. Katanya kepada Mangga Media, selama hampir 20 tahun, sokongan para peminat juga pihak media yang banyak menjadikannya terbang tinggi seperti hari ini.

Jadi, apabila permintaan peminat yang satu ini terhadap lagu Separuh Matiku Bercinta di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32), Februari nanti, sangat ‘menyeramkan’ Dayang.

Empat tahun ke belakang, lagu-lagu penyanyi dari Kuching Sarawak ini, Di Pintu Syurga, Takkan Menyerah dan Lelaki Teragung sukses meraih pencapaian tertinggi dalam pertandingan berprestij tersebut.

Di pentas pertandingan itu, Dayang berkolaborasi semula dengan komposer Ajai, selepas 15 tahun kegemilangan yang mereka cipta menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta.

“Dayang pun tension juga. Sedikit sebanyak beri tekanan bila harus perlu memberikan sehabis baik.

“Bila dah pernah sekali, dua kali dan tiga kali menang, ramai mahu tengok Dayang menang lagi. Itu sebenarnya yang beri lebih tekanan.

“Jangan pandang rendah pada penyanyi-penyanyi muda yang bertanding. Dayang dikatakan paling senior bertanding dan harus bersaing dengan penyanyi-penyanyi baharu yang jauh  lebih muda.

“Walau apapun, Dayang tetap akan berikan persembahan terbaik. Tunggulah nanti dan doakan Dayang,” ungkapnya.

Di AJL 32 nanti, Dayang harus berentap dengan penyanyi baharu antaranya, Haqiem Rusli, Khai Bahar, Hael Hussaini, Ara Johari, Wany Hasrita dan Syamel.

Juga bersaing hebat dengan penyanyi senior lain, Altimet, Hazama dan Salma Asis.