Dayang Nurfaizah Anggap Penyanyi Baharu Menakutkan!

Dayang Nurfaizah mempertaruhkan lagu Separuh Matiku Bercinta dalam AJL32 yang bakal berlangsung Februari tahun depan. FOTO: ZULFAIZ ZAKARIA

 

MELALUI lagu Separuh Matiku Bercinta ciptaan komposer Ajai, Dayang Nurfaizah melengkapkan kejayaan empat kali berturut-turut ke pentas akhir pertandingan berprestij Anugerah Juara Lagu selepas namanya kembali bersinar sejak tiga tahun lepas.

Namun, beliau sebenarnya sudah melakar sejarah di pentas AJL melalui lagu Seandainya Masih Ada Cinta dan Erti Hidup.

Melihat senarai 12 lagu dan penyanyi yang berjaya ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32), sebanyak lapan lagu adalah daripada tujuh penyanyi baharu yang sedang naik daun.

Penyanyi baharu atau dalam gelaran terkini ‘Budak-budak Baru Nak Up’ mendominasi pentas akhir AJL32 iaitu lagu Tergantung Sepi oleh Haqiem Rusli, Jampi (Hael Husaini), Menahan Rindu (Wany Hasrita), Bayang (Khai Bahar), Warkah Untukku (Ara Johari) serta Syamel dengan dua lagu, Lebih Sempurna serta Aku Cinta, duet bersama Ernie Zakri.

Penyanyi senior lain adalah Altimet (Amboi), Hazama (Aku Yang Sebenar), Salma (Akhirnya Cinta) dan Azmi Caliph Buskers (Sejati).

“Dalam bertanding tiada istilah senior mahupun junior. Sebab yang dipertandingkan sebenarnya adalah lagu.

“Sesiapa pun penyanyi pasti akan buat yang terbaik macam yang pernah saya lakukan dalam pertandingan terdahulu.

“Saya yakin dengan usaha kuat akan ada hasilnya nanti. Tak kisahlah kali ke berapa bertanding di samping kalah atau menang.

“Kebanyakan penyanyi baharu sekarang bagi saya so scary! Sebab mereka berani dan yakin membuat ekperimentasi menghasilkan lagu-lagu baharu mengikut citarasa terkini.

“Jadi, saya juga harus berusaha seperti mereka menghasilkan karya-karya terbaharu mengikut citarasa terkini.

“Kalau ditanya, saya pilih Haqiem Rusli sebagai penyanyi baharu yang nampak potensi besar kerana bakat serta gayanya tersendiri.

“Malahan vokalnya juga matang dan lagu-lagunya mengikut selera anak-anak muda masakini,” ujar Dayang kepada Mangga Media.

Haqiem Rusli (duduk depan dari kiri) antara penyanyi baharu yang dipuji Dayang Nurfaizah