‘Datang Gendong, Pulang Bopong’

 

JIKA tak kuat semangat, mendengar kata-kata keramat, ‘Datang Gendong, Pulang Bopong’, sudah cukup membuatkan bulu roma merinding menonton filem seram paling laris di Indonesia iaitu Jailangkung!

Apatah lagi buat hero heroin muda Jailangkung, Jefri Nichol, 18 dan Amanda Rawles, 17, yang harus berdepan beberapa kejadian seram sehingga ada yang kena rasuk di lokasi penggambaran filem yang telah mencecah jumlah lebih 2 juta penonton sewaktu tayangan di Indonesia pada Lebaran lepas.

Filem seram yang turut dibintangi bintang hebat, Lukman Sardi dan Wulan Guritno serta barisan pemain muda antaranya Hannah Al Rashid, Gabriella Quinlyn serta Augie Fantinus bakal beredar di pawagam Malaysia bermula Khamis ini, 10 Ogos. Ia dibawakan oleh Astro Shaw.

Jailangkung versi 2017 masih mengekalkan gandingan sutradara sama semasa filem versi 16 tahun lalu iaitu Jose Poernomo dan Rizal Mantovani. Jailangkung bermaksud patung kayu.

Kisahnya bermula apabila Ferdy, bapa Angel (lakonan Amanda Rawles) tiba-tiba koma tanpa mengetahui puncanya. Dengan bantuan Rama (Jefri Nichol) yang mengetahui selok-belok dunia paranormal, mereka cuba merungkai misteri.

Mereka mendapati Ferdy telah terlibat dengan permainan menggunakan patung kayu iaitu Jailangkung yang memanggil roh orang mati. Namun, roh siapakah yang Ferdy panggil?

Jefri Nichol dan Amanda Rawles kongsi kisah seram di lokasi filem Jailangkung bersama Mangga Media. FOTO & VIDEO: NORAZLINA OTHMAN