Cinta tidak sengaja antara NADIA BRIAN & ISA KHAN?

CEMUHAN Isa Khan terhadap Nadia Brian, “Remember, you are not my type!” sangat memberi kesan kepada Nadia. Ayat yang ‘menyentap’ itu terkeluar dari mulut Isa Khan selepas mereka bertemu buat kali pertama di New Zealand. Ketika itu, Nadia sedang bekerja separuh masa di sebuah kafe dan tidak mempunyai perancangan untuk pulang ke tanah air buat sementara waktu.

Itulah antara babak menarik dalam drama taruhan baharu ntv7 berjudul Rahasia Kasih. Drama 20 episod ini akan bersiaran di kaca televisyen bermula 30 Oktober ini setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 8.30 malam. Selain Nadia Brian dan Isa Khan drama arahan Jamal Khan di bawah terbitan Suhan Movies & Trading ini turut dibintangi Mathni Razak, Ruzana Ibrahim, Syida Melvin, Hasnul Rahmat, Wilma Muhammad, Abby Nour dan Catriona Ross.

Drama mengisahkan latar belakang keluarga Nazmi (lakonan Isa Khan) iaitu anak tiri kepada Datuk Ariffin (Hasnul Rahmat) yang telah berkahwin dua secara diam-diam. Semua rahsianya terbongkar apabila Datuk Ariffin meninggal dunia, lantas menjadi tamparan hebat buat isteri pertama, Datin Syuhada (Wilma Muhammad) setelah munculnya nama Nailis (Catriona Ross) selaku isteri kedua dan anaknya Nazmi tersenarai dalam wasiat Datuk Ariffin untuk dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif syarikatnya, manakala Nailis pula menjadi penasihat.

Datin Syuhada mempunyai tiga orang anak bersama Datuk Ariffin iaitu Shahrul (Mathni Razak), Syaiful (Hafiz Nolan), dan Suhaila (Abby Nour). Shahrul merupakan anak sulung Datin Syuhada yang tidak begitu berminat dengan perniagaan keluarganya. Bukan itu sahaja, Shahrul pula terpaksa berkahwin dengan wanita pilihan ibunya iaitu Melinda (Ruzana Ibrahim), meskipun sudah memiliki kekasih hati bernama Adeeba (Syida Melvin).

Anak perempuan mereka Suhaila sering membuat hal sendiri dan tidak sehaluan dengan kakak iparnya, Melinda. Syaiful pula disahkan menghidap penyakit bipolar dan sering rasa diabai oleh keluarga sendiri. Hidup Syaiful mula berubah menjadi lebih indah selepas dia berkenalan dan mula jatuh hati dengan Alina yang akhirnya pulang ke Malaysia demi menyelesaikan sebuah misi.

Siapa sangka, Alina (Nadia Brian) akan bertemu dengan Nazmi sekali lagi selepas kembali di Malaysia, dan dia mula mempunyai perasaan terhadap Nazmi. Konflik bertambah keruh apabila Nazmi telah jatuh hati dengan bekas kekasih Shahrul iaitu Adeeba, serta hadirnya orang ketiga yang sering menghasut dan ingin mengambil kesempatan untuk meretakkan lagi hubungan keluarga ini.

Keadaan menjadi semakin rumit, apakah kesudahan konflik keluarga ini? Adakah Alina akan terus menaruh hati terhadap Nazmi, atau adakah Nazmi tetap akan bersama Adeeba? Segalanya terjawab dalam Rahasia Kasih.