Cinta Reino Tidak Direstui Keluarga, Luna Maya Kembali Pada Ariel?

LEBIH lima tahun jalin cinta dengan Reino Barrack, belum ada nampak gambaran aktres Luna Maya bakal dilamar menjadi isteri yang sah.

Kerap ditanya wartawan tentang kahwin, pelakon filem Tembus keluaran produksi Malaysia itu sudah lali meski jawapannya masih sama, belum ada jodoh!

Luna yang ditemui wartawan semasa tayangan perdana filem terbaharunya, InsyaAllah Sah 2 di Jakarta, baru-baru ini sekali lagi ditanya wartawan, apakah halangan kahwin itu disebabkan tiada restu keluarga?

“Iya,” ringkas jawapan keluar dari mulut Luna. Jelas membuktikan hubungan cinta lima tahun itu belum mendapat ‘lampu hijau’ daripada keluarga.

“Masalahnya bukan daripada saya mahupun Reino. Jadi, doakan sajalah. Saya belum ada jawapan bilakah mahu kahwin.

“Tapi, kalau saatnya nanti hubungan batal, saya juga harus menerimanya. Tunggulah, kalau memang betul dia jodoh saya, maka itu pasti terjadi juga.

“Kalau tidak jadi, kami masih boleh berkawan. Saya yakin pasti ada yang terbaik buat saya.

“Dalam soal nikah, ngak perlu ada desakan,” jelas Luna yang turut popular menerusi filem Love versi Indonesia, arahan Kabir Bhatia yang turut mengarahkan filem versi sama keluaran Malaysia berjudul Cinta.

Luna Maya belum dilamar Reino Barrack.

Belum dapat restu keluarga untuk disatukan segera dengan Reino, Luna ditanya wartawan apakah ada kemungkinan kembali ke pangkuan bekas kekasihnya, Ariel si vokalis band Noah?

Tambahan pula, Ariel baru sahaja kembali jomblo setelah hubungan cinta lima tahun dengan supermodel, Sophia Latjuba kandas di tengah jalan.

Lebih lima tahun lalu, Luna dan Ariel pernah heboh di dunia hiburan Indonesia dan beberapa negara tetangga termasuk Malaysia serta Singapura gara-gara penyebaran video seks kontroversi.

“Oh tentang itu ngak ya.  Ngak mungkin kembali pada dia,” tegas Luna.