Cerita rasa ANIS NABILAH bersama selebriti popular

BERMULA 6 November ini, setiap Isnin dan Selasa, program “Cerita Rasa Anis Nabilah” bersama selebriti kesayangan ramai  berkongsi penyediaan hidangan masakan dalam dan luar negara pada pukul 12.30 tengah hari melalui saluran TV1.

Istimewanya, sepanjang 13 episod siaran, program ini menyajikan cara-cara penyediaan  masakan terpilih seluruh dunia, antaranya makanan Itali, Afrika, Vietnam, Thailand, Timur Tengah dan rantau Mediterranean selain masakan tempatan. Sebanyak 39 resipi dikongsi kepada penonton tersayang. Hos Anis Nabilah dan seorang selebriti jemputan memasak tiga jenis hidangan dalam setiap episod.

Dalam episod pengenalan, Chef Anis Nabilah mengundang Chef Nik Michael Imran yang memperkenalkan tiga jenis masakan Utara Pulau Pinang. Hidangan pertama yang disediakan  ialah Pasembur (cucur udang), Nasi Jagung dan Kari Ayam Kapitan di samping tip dan petua penyediaan.

Seterusnya episod bersama pelakon, penyanyi dan pengacara Marsha Milan Londoh yang  menyediakan hidangan Afrika yang mudah untuk dipelajari oleh penonton. Antara masakannya ialah Nasi Lobak Merah, Kari Ikan Afrika dan Ayam Kuku Wa Ukwaju. Nasi Lobak Merah yang amat bekhasiat dikatakan dapat meningkatkan penglihatan mata.

Sementara itu, Mark Adam pula menebar roti canai dan memasak Kari Udang dan Gulab Jamun. Teknik-teknik membuat roti canai turut dihuraikan.

Peminat Nabila Razali pula, jangan ketinggalan menyaksikan penyanyi dan pelakon ini menyiapkan hidangan resipi masakan dari Vietnam. Mereka menyediakan masakan yang dikategorikan dalam ‘appetizer’, ‘main course’ dan ‘dessert’ iaitu ‘Vietnamese Shrimp Spring Roll’, ‘Vietnamese Fish In Caramel Sauce with Heart of Palm’ dan ‘Sweet Banana Soup with Tapioca and Coconut’.

Manakala pelakon Syafie Naswip membuktikan dirinya berbakat dalam bidang masakan. Antara menu yang disediakan, ‘Mediterranean Fig Salad’, ‘Kambing Ala Mediterranean Bersama Kuskus’ dan ‘Greek Style Sponge Cake’.

Episod seterusnya, Thanuja Ananthan, model, pengacara dan pelakon juga ratu Malaysia pada tahun 2009 menyediakan tiga jenis masakan masyarakat Cina. Antara masakannya, ‘Ayam Dengan Goji Berry’, ‘Sup Ketam Dengan Jagung’ dan ‘Udang Galah Masam Manis dengan Mantou Goreng’.

Pelakon dan pengacara Fahrin Ahmad juga tidak ketinggalan menyediakan masakan Malaysia yang terdapat di kawasan Pantai Timur seperti ‘Ayam Percik’, ‘Nasi Kerabu dan Sambal Kelapa’ juga ‘Solok Lada dan Sambal Tumis’. Menarik dikongsikan Chef Anis menggunakan bunga telang untuk mendapatkan warna biru bagi nasi kerabu.

Menyediakan tiga jenis hidangan Arab iaitu ‘Ayam Al Kabsa’, ‘Baba Ganouj’ dan ‘Basbash’ (pencuci mulut), saksikan episod bersama artis undangan pelakon popular Adeline Tsen dalam episod berikutnya.

Diikuti perkongsian tiga jenis masakan tradisional Itali bersama Lan Solo. Antara hidangan yang disediakan oleh mereka ialah ‘Lamb Osso Buco’, ‘Risotto Ala Milanese’ dan ‘Tiramisu Traditional’.

Hidangan lazat masakan Thailand disajikan pelakon Farah Nabilah yang gemar memasak. Antara menu disediakan iaitu ‘Ayam Kari Hijau’, ‘Kek Udang Thailand’ dan ‘Pulut Mangga Thailand’.

Penonton boleh mencuba cara memasak ‘Kek Udang Thailand’ yang boleh dibakar dalam ketuhar ataupun digoreng. Dalam program sama pelakon Nad Zainal menyediakan tiga jenis masakan yang sesuai untuk kanak-kanak. Antara hidangannya, ‘Macaroni & Keju’, ‘Double Chocolate Brownies’ dan ‘Sliders Daging’.

Dua orang atlet negara turut dijemput berkongsi sajian yang bukan sahaja lazat tetapi juga sihat dan berkhasiat. Ahmad Amsyar Azman, ahli sukan terjun kebangsaan menyediakan hidangan ‘Satay Ayam dan Sos Almond’, ‘Quinoa Briyani’ dan ‘Puding Mangga dan Benih Chia’. ‘Puding Mangga dan Benih Chia’ ialah sejenis pencuci mulut yang sihat.

Atlet futsal wanita kebangasaan iaitu Nur Izwani Azman (Niena Azman), memasak tiga jenis masakan negeri Sarawak. Antara masakan yang disediakan ialah ‘Gulai Nangka Dengan Udang Harimau’, ‘Umai’ dan ‘Onde-onde’.’Umai’ ialah sejenis salad yang sedap dan terkenal di Sarawak. Manakala ‘Onde-onde’ ialah sejenis pencuci mulut yang dimakan dengan hirisan kelapa.

Jangan lupa bersama Anis dan selebriti kesayangan anda setiap Isnin dan Selasa pukul 12.30 tengah hari di TV1.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.