Bunga Luah Jatuh Bangun Karier Seni

Album baharu Bunga Citra Lestari diberi judul It’s Me BCL

SETELAH lima tahun, akhirnya penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) melancarkan album terbaharu berjudul It’s Me BCL di kawasan Kemang, Jakarta Selatan pada semalam Rabu, 12 Julai.

Isteri kepada aktor Malaysia, Ashraf Sinclair ini turut menganggap album baharu tersebut mengungkap suka duka perjalanan karier seninya.

Salah satu kedukaan yang dikongsikan ialah jatuh bangun di dalam industri seni di samping rasa kehilangan pada produser album, Suwardi Widjaja (Pak Lin) yang telah meninggal dunia.

“Album ini ambil masa lima tahun untuk disiapkan. Isi lagunya pelbagai genre, mulai dari lagu sejak lima tahun lalu hinggalah lagu terkini yang dirakamkan.

“Ianya menggambarkan perjalanan hidup saya. Sejujurnya, momen saat ini sangat berat, kerana terkenangkan arwah Pak Lin yang sudah dianggap macam bapa sendiri,” jelas Bunga kepada pihak media.

Bunga menjelaskan album baharu menggambarkan kisah hidupnya

Mengandungi 10 lagu, pelantun lagu hit Wanita Terbahagia dan heroin filem Habibie & Ainun ini masih juga mengekalkan muzik pop.

“Album ini turut menampilkan sisi diri saya yang belum pernah diketahui ramai. Dalam tempoh lima tahun, saya berhadapan jatuh dan bangun dalam karier,” ungkap Bunga yang turut mendapat kerjasama daripada beberapa pemuzik terkenal serta rakan-rakan baiknya seperti Dipha Barus, Joe Taslim, Daniel Christanto dan Reza Rahadian.

Filem terbaharunya yang bakal ditayangkan tidak lama lagi, Surat Kecil Untuk Tuhan, bergandingan dengan Joe Taslim.

Bunga Citra Lestari, penyanyi yang juga ngetop di layar perak menerusi filem Habibie & Ainun, Jilbab Traveller: Love Sparks In Korea dan terbaharu, Surat Kecil Untuk Tuhan